Lanjutan demonstrasi # Padang Merbok 622, satu lagi demonstrasi aman akan berlangsung di jalan masuk bangunan parlimen anjuran NGO Jihad for Justice pada pukul 8 pagi, 24 Jun ini.
Menurut pengerusi Jihad for Justice Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim berkata tunjuk perasaan berkenaan diadakan bersama 15 NGO lain untuk membuka mata kerajaan BN agar menubuhkan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) bagi menghentikan kejadian kekerasan anggota polis terhadap orang awam.
“Kita menuntut undang-undang penubuhan IPCMC dibentang di Parlimen dalam sesi ini. Apa yang susah sangat untuk menubuhkan IPCMC. Tak cukup dengan mahkamah koroner yang akan dibentuk kerajaan.
“Di negara Singapura dan New Zealand ada mahkamah koroner tapi mereka juga ada IPCMC. Kita menuntut IPCMC ditubuhkan segera,” katanya.
Selain itu, demonstrasi juga katanya akan membantah beberapa isu berkaitan penayangan filem Tanda Putera dan Interlok yang masih belum selesai. Kedua-dua isu itu mengundang bantahan meluas dari kaum Cina dan India yang menunjukkan BN mengamalkan rasisme dalam dasar pemerintahan.
“Kita minta Menteri Komunikasi dan Multimedia Shabery Cheek tayangkan dahulu filem Tanda Putera kepada 222 Ahli Parlimen sebelum menayangkannya kepada rakyat.
“Maklum balas yang kita dapat penayangan filem itu kepada peneroka Felda di PWTC sebelum pilihan raya lalu menyebabkan orang Melayu marah kepada kaum lain.
“Dalam isu Interlok, walaupun buku itu telah ditarik daripada menjadi teks sastera di sekolah tetapi ia tidak dimusnahkan. Mengikut peraturan ia mesti dilupuskan dan bukannya disimpan di stor sahaja,” bidasnya.
Mengulas himpunan # Padang Merbok 622, Thasleem menyeru agar semua rakyat hadir ke perhimpunan itu bagi meluahkan rasa benci mereka kepada penipuan pilihan raya dan menuntut Pengerusi, Timbalan dan jawatankuasa SPR meletak jawatan.
“Tuntutan Blackout 505 adalah adil. Kita minta SPR meletak jawatan kerana mereka jelas telah gagal mengendalikan pilihan raya umum ke 13 dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Thasleem salah seorang pemimpin perarakan 622 dari Masjid Negara ke Padang Merbok pada 22 Jun ini.