Di sebalik amaran Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh yang mendakwa menerima maklumat peserta di tujuh lokasi himpunan akan “menimbulkan kemarahan polis”, dan “mencetuskan huru-hara sekitar Kuala Lumpur”, bandaraya pagi ini tenang.
Tidak ada sekatan polis di jalan-jalan utama menuju ibu negara seperti yang berlaku pada Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 yang diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram.
Situasi itu mendorong lebih banyak rakyat untuk menyertai perhimpunan aman #622 di Padang Merbok yang dijangka bermula pada pukul 2.00 petang.
Perarakan dari tujuh lokasi berhimpun tentunya tidak mendapat gangguan sekiranya pihak polis bekerjasama dan hanya menutup laluan yang tidak dibenarkan sahaja.
Oleh itu, para peserta tidak perlu bimbang untuk menghadiri perhimpunan aman. Perhimpunan ini diharapkan oleh pihak sekretarian Blackout 505 akan mengulangi Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari lalu yang dimulakan aman dan tamat secara aman.
Jalan Sultan dibanjiri demonstran
Sementara itu demonstran telah pun membanjiri Jalan Sultan dan Jalan Pudu seawal jam 8.00 pagi. mereka membawa pelbagai sepanduk dan bersiap sedia untuk berherak ke Padang Merbok pada tengah hari.
Peniaga di Jalan Sultan menutup perniagaan untuk turut sama berhimpun pada hari ini. Polis telah membuat hadangan di kawasan-kawasan yang tidak dibenarkan masuk. hadangan juga dibuat di Dataran Merdeka antara laluan utama ke Padang Merbok.
Dianggarkan kira-kira 10,000 demonstran telah berhimpun di Jalan Sultan. Berita yang diterima demonstran dari Pantai Timur sedang bergerak masuk menggunakan pelbagai kenderaan dari Jalan Pahang. Sebahagian lagi masih berada di Gombak dan mereka akan menuju ke tengah ibu kota sama ada di check poit Sogo atau terus ke Padang Merbok.