Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang menyifatkan ribuan rakyat yang hadir pada himpunan 22 Jun lalu menunjukan rakyat konsisten menuntut pilihanraya bersih dan adil di negara ini walau berdepan pelbagai tekanan dari pihak berkuasa.
Beliau antara pimpinan Pakatan Rakyat paling awal tiba di Pejabat Agung PAS sebelum menuju ke Padang Merbok pada hari itu.
Perarakan bermula selepas solat Zohor kira-kira 2.10 petang sebaik Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dr Idris Ahmad selesai membacakan doa yang diaminkan hampir 1,000 peserta.
Turut serta, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan dan pimpinan lain.
Lokasi ini dipantau hampir 10 pasukan polis dan dua buah kereta, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku kerana peserta mengikuti arahan pimpinan.
Sepanjang perarakan, anggota Unit pasukan keselamatan Amal PAs, membuat rantaian manusia 100 meter lebih dihadapan pimpinan dan peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan, kiri dan kanan.
Peserta lelaki kebanyakannya berada di sebelah kiri dan muslimat di sebelah kanan sambil diperhatikan Majlis Peguam yang turut menjadi jurugambar dan pemerhati.
Sepanjang perarakan, sebuah kereta pacuan empat roda membawa puluhan kotak air mineral yang diberi secara percuma kepada peserta, sebuah ambulans keselamatan dan tiga motor berkuasa besar mengiringi peserta.
2.25 petang, peserta dari lokasi ini bergabung dengan kumpulan dari Sogo yang sudah menanti sebelum berhenti beberapa minit ekoran bagi memastikan setiap peserta berada di belakang pimpinan demi keselamatan mereka.
Keadaan itu nyata rezeki buat peniga ekoran peserta membeli minuman dari peniaga tepi jalan. Kelihatan seorang makcik sentiasa tersenyum ekoran keropok lekornya laris dan turut melaungkan SPR tipu semasa peserta mula bergerak semula.
Sementara itu, pembeli terutama wanita yang sibuk membeli belah di sepanjang kedai yang kebanyakannya menjual pakaian perempuan mengeluarkan telefon bimbit masing-masing merakam detik bersejarah itu.
Turut mencuri tumpuan seorang lelaki meminta pasangannya merakam gambarnya berlatarbelakangkang peserta himpunan dengan beliau mengangkat tangan sambil tersenyum.
Kira-kira 2.40 petang, kumpulan ini sudah mencecah lebih 5,000 orang selepas bergabung dengan satu lagi kumpulan di Jalan Parlimen menuju ke Padang Merbok.
Lebih 5,000 peserta yang bergerak dari Sogo di Jalan TAR memasuki Jalan Parlimen dan menuju ke Padang Merbok.
Sementara menunggu kumpulan lain tiba, peserta dari kedua-dua lokasi itu sekali lagi membantu ekonomi rakyat dengan membeli pelbagai makanan termasuk roti aiskrim.
“Alhamdulillah, himpunan itu antara sumber rezeki. Walaupun harga aiskrim ini saya naikkan sedikit, namun ia tetap laku kerana pembeli tak kisah,” katanya memperkenal diri sebagai Saiful dan menetap di Cheras.
Seorang pembeli bergurau dengannya meminta menjadi pembantu ekoran dia tidak menang tangan melayan pelanggan yang membeli.