Masih belum terlambat untuk pemimpin Pakatan Rakyat bersidang dan membuat keputusan memboikot pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut.
Tindakan boikot PRK bukanlah asing di Malaysia. Barisan Alternatif pernah memulaukan PRK Batu Talam, Pahang bagi membantah penipuan SPR pada pilihan raya umum 2004. BN pula pernah memulaukan PRK yang mereka sifatkan membazir dan tidak perlu apabila Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang yang juga Adun Penanti Fairuz Khairuddin meletak jawatan pada 2009.
Dalam kedua-dua PRK hanya calon Bebas yang bertanding. BN menang mudah di Batu Talam manakala PKR menang mudah di Penanti.
Kesediaan PR untuk masuk PRK Kuala Besut hanya memberi peluru kepada SPR untuk menyerang kembali. Badan itu sebelum ini pernah memperlekeh pemimpin PR dengan sindiran ‘jika tidak iktiraf keputusan pilihan raya mengapa mahu hadir angkat sumpah di parlimen’.
Dalam PRK ini SPR awal-awal lagi membuat kenyataan bahawa dakwat kekal yang akan digunakan nanti akan lebih berkualiti dan dibeli dari syarikat lain. Maka penipuan dakwat kekal yang terjadi dalam PRU lalu akan dianggap sebagai kesilapan dalam membeli dakwat kekal sahaja. Sama sekali tiada kena mengena dengan perancangan untuk mengekalkan kekuasaan BN.
Kuala Besut mustahil dimenangi PAS. Pemimpin PAS maklum kawasan itu kubu kuat BN dan majoriti kemenangan Dr A. Rahman Mokhtar pada PRU 13 lalu melebihi 2,000 undi. Pekerjaan penduduk Kuala Besut hanyalah nelayan dan petani. Golongan miskin seperti itu sangat mudah digula-gulakan BN. Malah BN juga boleh membeli kertas undi mereka.
Tunjuk hebat
Apa yang berlaku dalam kepimpinan PAS adalah sindrom ingin menunjukkan kehebatan biar pun dengan cara paling kecil. Dengan keahlian mencecah 1 juta PAS dengan slogan ‘PAS ganti Umno’ mahu menunjukkan kekuatan ia sebuah parti Melayu yang dominan.
Pantang dicabar mereka akan meletakkan calon di mana sahaja PRK tanpa menghitung kekuatan atau pun moral ahli. Kebanyakan ahli PAS telah pun letih dengan slogan dan kemegahan pemimpin parti itu.
Tidak kurang juga yang kecewa dengan hala tuju perjuangan yang kadang kala tidak mantap. Sebahagian ulama PAS menerima penipuan BN dalam PRU 13 dengan dada terbuka. Mereka tidak menyokong program Blackout 505 yang dianjurkan oleh PKR. Amat jelas golongan ustaz PAS tidak menonjol di mana sahaja program itu diadakan dan tidak menghantar wakil dalam kemuncak program di Padang Merbok pada 22 Jun lalu.
Ketua Dewan Ulama PAS pula mempertikai rancangan untuk mengadakan demonstrasi 505. Mereka seolah-olah terkena penyakit Umno yang hanya mementingkan kempen politik dan pilihan raya. Memang BN mahukan pembangkang hanya melawan dalam pilihan raya supaya boleh ditipu buat selama-lamanya.
Pada PRU 13, Pakatan Rakyat memerlukan sehingga 62 peratus sokongan undi popular untuk mendapatkan majoriti mudah 115 kerusi. Sedangkan BN masih boleh membentuk kerajaan dengan hanya 38 peratus undi popular. Pada pilihan raya akan datang dengan persempadanan semula, dijangka Pakatan memerlukan sehingga 70 peratus undi popular sebelum boleh mengalahkan BN.
PAS tidak mahu tahu angka itu kerana mereka tidak ingin duduk di Putrajaya, sebaliknya hanya ingin mengekalkan Kelantan dan mengambil Terengganu. Memberi beberapa pemimpin utamanya kerusi Parlimen serta DUN dan menikmati pencen di hari tua.
Perbalahan politik
Bukan rahsia lagi sebulan sebelum pilihan raya umum 13 pemimpin PAS sebahagian besarnya mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perdana menteri sekiranya PR menang PRU. Juga telah menjadi fakta sejarah YB Azmin Ali adalah pemimpin yang bermati-matian mempertahankan Anwar dalam perbincangan tertutup antara PAS dan PKR.
Sikap PAS ini tidak konsisten dengan perjuangan PR dan mereka menetapkan agenda untuk memimpin PR. Sedangkan pemimpin utama PAS tidak mempunyai banyak isu untuk diperjuangkan. Kebanyakan mereka hanya mengikut arus sahaja.
Kini, arus kuat membantah rampasan kuasa di Mesir. PAS membantah rampasan itu dan menunjukkan solidariti. Berdoa dan bersembahyang hajat agar rakyat Mesir terus bangkit memperjuangkan hak mereka.
Inilah sikap yang menimbulkan rasa sinis di kalangan rakyat. Ketika Najib menggunakan PRU 13 untuk merampas kemenangan PR, ulama PAS membenarkannya. Sebaliknya mereka menegaskan rampasan di Mesir adalah haram.
Ikhwan akan dikenang sepanjang sejarah apabila Mursyid al-Am Ikhwan Muslimin Sheikh Muhammad Badi’ turun ke dataran Rabiatul Adawiyah, timur Kaherah dan memberi kata dua, huru-hara tidak akan selesai selagi Morsi tidak dikembalikan sebagai presiden.
Di Malaysia, tidak seorang pun ulama PAS yang sanggup turun ke Padang Merbok ketika Najib terbukti merampas kuasa melalui PRU. Malah suara dari kelompok yang selesa ini sering mematahkan semangat anak muda untuk berjuang menumbangkan rejim BN.
Tanpa perjuangan yang jelas, PAS akan menjadi semakin tidak relevan dalam politik negara. Jadi dalam PRK Kuala Besut adalah lebih baik mereka memboikot berbanding bertanding dan dikalahkan dengan lebih teruk lagi dari PRU 13 lalu.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Suarapakatandaily