Peserta perhimpunan membantah rampasan kuasa di Mesir tidak menolak untuk menyambut hari raya Aidilfitri di jalan-jalan raya Mesir sekiranya pihak tentera tidak mengembalikan jawatan Presiden Morsi.
Perhimpunan semalam merupakan yang terbesar sejak dua minggu lalu apabila kerajaan Morsi digulingkan. Ia bermula selepas solat Jumaat dan menyaksikan kira-kira 6 juta penyokong Morsi berarak di seluruh bandar-bandar besar.
Selain Dataran Raba’ah, tempat-tempat lain ialah Dataran Nahdhah di hadapan Universiti Kaherah, Giza, Ramsis, Istana Ittihadiyyah, Iskandariyyah dan Almenia, Qina, Aswan, Asyut dan di Fayoum.
Menjelang solat Jumaat, Khutbah membakar semangat di Dataran Raba’ah disampaikan Timbalan Menteri Wakaf Dr.Jamal Abdul Sattar.
Dianggarkan lebih 3 juta penyokong memenuhi Dataran Raba’ah.
Pemimpin yang berucap menekankan tuntutan agar dikembalikan jawatan Presiden Mesir Dr.Mursi tanpa apa-apa syarat; segera mengadakan Pilihanraya Dewan Rakyat dan kembalikan Dewan Senat yang dibubarkan ; menjayakan “Jawatankuasa Kebangsaan” yang diperintahkan oleh Presiden Mursi sebelum ini yang disertai oleh semua pihak dan lapisan masyarakat dan sesiapa yang tidak berpuas hati untuk menghukum Presiden Mursi atau menyingkirkannya mestilah dilakukan mengikut perlembagaan.
Dalam pada itu, tokoh Ikhwanul Muslimin Dr.Sofwat Hijazi turut menyampaikan pidatonya di pentas Raba’ah.
“Mereka bertanya kita apa yang anda akan lakukan jika askar tidak mengendahkan tuntutan kamu?
“Kita menjawab, kami akan kekal berterusan di sini dan dataran-dataran sehingga kembali Presiden Mursi atau kami bersedia untuk mati.
“Kami akan bersiap untuk menyambut hari raya di sini. Sebahagian muslimat semalam datang mencadangkan untuk membawa ketuhar bagi menyiapkan biskut dan kuih hari raya di dataran.
“Kami akan terus menekan dengan cara yang aman. Kami sama sekali tidak akan mengangkat senjata berhadapan dengan tentera sekalipun kami dibunuh. Kita akan menjadi hamba Allah yang sedia dibunuh, bukan hamba-Nya yang membunuh.
“Kami akan gunakan semaksimum mungkin cara untuk menekan. Kami juga mampu untuk mengadakan mogok dan mengepung pejabat-pejabat kerajaan akan tetapi kami tidak akan melakukannya kerana ia mengganggu kehidupan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Jutaan para penyokong Dr.Mursi yang berkumpul di dataran Raba’ah malam tadi telah mengadakan perarakan ke Istana Ittihadiyah dan Kementerian Pertahanan.
Kemaraan mereka ke Istana Ittihadiyah bagaimanapun dihalang oleh sekatan tentera yang menghalang jalan dengan kawat berduri dan meletakkan kenderaan perisai di jalanraya.
Pentas Raba’ah semalam juga turut mengumumkan jumlah kehadiran penyokong Morsi sehingga kini iaitu 3 juta di Dataran Rabaah Adawiyyah, Dataran Nahdhah di hadapan Universiti Kaherah (2 juta), Giza (350 ribu), Ramsis (500 ribu), Istana Ittihadiyyah (150 ribu), Qina (100 ribu), Aswan (30 ribu), puluhan ribu di Fayoum, ratusan ribu di Asyut serta jutaan lagi di Iskandariyyah dan Almenia.
Komentar: Andainya demonstran 505 Pakatan Rakyat melakukan seperti di Mesir, mungkin suasana politik Malaysia telah berubah. Kalau BN didesak mengembalikan kerajaan Perak kepada PR untuk melakukan pilihan raya negeri sewaktu rampasan kuasa Perak 2009 lalu, tentu BN tidak berani menipu dalam PRU 13.
Tapi apa boleh buat. Rakyat pemalas, penakut. Maka kalau harga barang naik, minyak naik, tol naik kena tanggung sendiri. Tak boleh salahkan orang lain.