Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan fitnah oleh bekas calon Umno Parlimen Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail dalam Pilihan Raya Umum (PRU) walaupun ketika bulan Ramadan.
Mazlan sebelum ini, melalui beberapa media Umno BN memfitnah kononnya Anwar membayar rasuah sebanyak RM50 juta kepada peguamnya, Karpal Singh sejak 2008.
“Kita sangat dukacita kerana pada hari-hari akhir Ramadan, budaya fitnah Umno BN keterlaluan dengan menggunakan bukan sahaja tokoh-tokoh Umno biasa tetapi juga media Umno untuk menyerang dan memfitnah saya.
“Sekarang Umno BN memfitnah lagi apabila melibatkan saya dan juga Karpal Singh dengan no akaun bank dan sebagainya,” ujarnya dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN.
Tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, Karpal tidak pernah menimbulkan soal pembayaran khidmat guamannya selama mereka bekerjasama.
“Saya dan keluarga memang mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Karpal kerana sepanjang membela saya selama lebih puluhan tahun tidak pernah timbul isu pembayaran.
“Tetapi fitnah terbaru Umno BN ini menghina bukan sahaja maruah dia, tetapi lebih-lebih lagi melibatkan pendakwaan dan hakim-hakim yang dibeli dengan jumlah wang tertentu,” katanya.