Berikutan kenaikan harga minyak pada 2 September lalu bantahan berterusan di adakan diseluruh negara. Terbaharu, kira-kira tiga puluh anak muda mengadakan flashmob di hadapan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu bagi membantah keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api.
Mereka hadir dengan membawa pelbagai kain rentang dan plakad antaranya berbunyi “Ini Adalah Protes 20sen”, “Sayangi Negara, benci Kerajaan Najib” dan “Orang Kaya Makin Kaya, Orang Miskin Makin Kayap” mendapat sokongan dari pemandu kenderaan yang membunyikan hon sebagai tanda sokongan.
Mereka yang terdiri dari gabungan beberapa pertubuhan mewakili anak muda itu menuntut kerajaan membatalkan keputusan menaikkan harga minyak dengan serta merta yang menurut mereka membebankan rakyat, selain mendesak kerajaan lebih berhemah dalam menguruskan kewangan negara.
“Kerajaan menekan rakyat dengan memotong subsidi yang seharusnya dinikmati rakyat, tetapi peliknya subsidi bagi kroni mereka terus kekal, ini adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan tidak menguruskan kekayaan negara dengan adil” kata Mohd Zaini bin Shafaad yang mewakili kumpulan tersebut.
Menurut Zaini lagi, Flashmob bagi membantah keputusan menaikkan harga bahan api itu telah dilakukan di beberapa bandar besar seperti Johor Bahru dan Kuantan sebelum ini dan akan di adakan di banyak lagi tempat bagi mendesak kerajaan supaya menarik balik keputusan yang disifatkan mereka sebagai”bersifat diktator dalam memutuskan isu-isu besar berkaitan negara”.