Kediaman tidak sepatutnya menjadi bahan spekulasi kepada golongan kaya dan hukuman kepada golongan miskin, kata ahli parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
“Kerajaan mesti memastikan perumahan rakyat memanfaatkan rakyat. Bukan dimiliki golongan mampu yang kemudiannya disewakan kepada pihak yang sangat memerlukan.
“Pembangunan sebenar jangan hanya tersangkut kepada petunjuk KDNK, sedangkan realiti sebenar – berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” kata Shamsul ketika menggulung perbahasan mesyuarat kedua, penggal kedua Parlimen ke-13., semalam.
Beliau mengupas ketidakseimbangan aliran peruntukan kerajaan yang lebih tertumpu kepada pembangunan di Lembah Klang.
“Ia dilihat kecil pada hari ini, tetapi akan dilihat besar pada masa akan datang. Kerajaan mesti menggunakan pendekatan terbalik (reverse approach).
“Kuasa pasaran mesti diagihkan ke pelbagai negeri untuk mengendurkan permintaan tinggi di Lembah Klang,” katanya.
Shamsul memetik statistik Jabatan Perangkaan Negara yang diterbitkan akhir tahun 2012.
Bagi tempoh 2008-2012, jumlah penduduk Malaysia meningkat dari 27 juta orang kepada 29.3 juta orang, iaitu hampir 500,000 setiap tahun.
“Ini meningkatkan kepadatan dari 83 orang sekilometer persegi kepada 89 orang sekilometer persegi.
“Meskipun nisbah penduduk sekilometer persegi masih rendah di negara ini berbanding negara serantau, penduduk Malaysia masih tertumpu ke kawasan Lembah Klang,” kata Shamsul.
Tambahnya, kira-kira 5.46 juta penduduk di Lembah Klang dan Selangor manakala 1.7 juta di Wilayah Persekutuan, menunjukkan satu perlima pendudukan Malaysia tertumpu di Lembah Klang.
“Dengan kepadatan penduduk tinggi, perumahan sempit dan tidak murah. Satu perempat daripada keluarga di ibu kota menjadi ‘keluarga sandwich’.
“Ia akan berkembang kepada banyak masalah lain. Ia juga beri kesan kepada pembangunan seimbang diseluruh negara.
“Aspek kualiti hidup semakin menjadi bualan ramai. Persoalannya, apakah realiti konsep asas ‘rumahku syurgaku’? kata Shamsul.