Demonstrasi menentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di hadapan KLCC 11 Oktober lalu bolehlah dikatakan sebagai berakhirnya kemeriahan tunjuk perasaan di negara ini.
Bantah TPPA bukan demonstrasi biasa. Ia setaraf Bersih 2.0 atau Himpunan kebangkitan Rakyat. sebulan sebelum tunjuk perasaan di KLCC jelajah bantah TPPA telah dilakukan ke seluruh negara. Pelbagai tokoh Pakatan Rakyat dan NGO telah menerangkan kepada rakyat bahaya TPPA.
Malangnya ceramah yang dilakukan di negeri-negeri tidak menggamit kehadiran lebih daripada 500 orang. Lebih banyak kerusi dari hadirin dan dihadiri lebih banyak oleh penyokong tegar parti. kemuncaknya ceramah diadakan di Kampung Baru kuala lumpur sebelum berlansungnya tunjuk perasaan pada Jumaat lalu.
Walaupun Anwar Ibrahim dijemput menjadi penceramah utama namun sokongan rakyat amat sedikit. Hanya 500 yang hadir. Seolah-olah TPPA tidak perlu dibantah walaupun perjanjian perdagangan itu akan menyebabkan Malaysia terjajah oleh kuasa barat yang lebih maju.
Sehingga jagoan demonstrasi Chegu Bard yang ditanya wartawan menyifatkan kelembapan kehadiran peserta hanya berlaku pada malam ceramah tetapi aktivis akan berhimpun dalam jumlah besar pada tunjuk perasaan Jumaat. Pada hari khamis juga PAS mengeluarkan arahan agar ahli-ahlinya hadir tunjuk perasaan.
Hasilnya amat memalukan, tunjuk perasaan selepas solat jumaat itu dihadiri tidak lebih 500 orang. Angka yang tidak membawa apa-apa kesan ke atas kedatangan Setiausaha Luar Amerika Syarikat John Kerry ke Malaysia.
Apakah istilah yang sesuai untuk menggambarkan kekecewaan rakyat malaysia ini sejak dipukul teruk oleh penipuan pilihan raya BN pada PRU ke 13 lalu. Rakyat yang sepatutnya menjaga generasi akan datang agar tidak dijajah semula oleh kuasa Barat tidak lagi mampu menyuarakan bantahan. Mereka telah hilang semangat dan memberi sahaja leher mereka disembelih BN.
Sesungguhnya sikap rakyat negara ini telah melemahkan pemimpin Pakatan Rakyat untuk terus membantah. Malah sikap yang ditunjukkan mereka amat pengecut jika dibandingkan dengan rakyat Indonesia atau Thailand.
Rakyat negara itu tidak akan berdiam diri sekiranya mereka terpaksa membayar lebih untuk sesuatu yang jelas menzalimi generasi akan datang dan diri mereka. Mereka juga tidak takut dengan tembakan maut pihak polis atau tentera.
Sama seperti di Mesir, meskipun 1,000 penyokong morsi telah dibunuh tetapi tetap kebangkitan melawan junta tentera berterusan. Di negara ini rakyat jadi lemah dan berputus asa walau hanya dikalahkan oleh penipuan pilihan raya. tiada nyawa yang melayang atau sesiapa dipukul FRU
Jika sindrom mandom ini berterusan maka tidak mustahil BN akan meluluskan pelbagai undang-undang anti demokrasi dan melaksankan pelbagai kezaliman. Tidak mustahil separuh populasi tidak mampu membeli makanan berkhasiat untuk keluarga menjelang pilihan raya ke 14.
Juga tidak mustahil akta ISA akan dihidupkan semula dan separuh pemimpin pembangkang akan meringkuk dalam penjara. untuk apa BN melayan rakyat dengan baik kerana mereka tidak akan bersuara dan menentang. Rakyat akan balik semula seperti pada zaman pemerintahan feudal. Rakyat bukan lagi rakyat bebas tetapi ‘hamba rakyat’