Ringkasan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 yang diumumkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Oktober lalu, di Parlimen memberi fokus kepada tiga teras utama.
Tiga teras itu adalah pengukuhan kedudukan fiskal dan pemerkasaan kewangan awam, pembangunan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan serta peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Menurut Anwar, belanjawan alternatif itu menumpukan kepada usaha reformasi fiskal untuk memastikan defisit berada pada kadar 3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2015 dan seterusnya mencapai lebihan belanjawan pada 2018.
“Reformasi fiskal ini dijangka akan membolehkan Malaysia keluar dari kemelut hutang yang kini melebihi RM500 bilion dan kos pembayaran hutang melebihi RM20 bilion setahun,” katanya .
Katanya lagi, sejak Pakatan menyediakan belanjawan alternatif, anggaran defisit Pakatan adalah selalunya lebih rendah daripada BN.
“Defisit sebenar kerajaan BN dianggarkan lebih tinggi daripada 3.2 peratus (dianggarkan 3.8 peratus hingga 4 peratus) disebabkan kegagalan mereka manangani rasuah dan ketirisan,” katanya.
Turut bersama dalam sidang media ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar (Tumpat), Penasihat DAP, Lim Kit Siang (Gelang Patah) dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Bagan).
Pakatan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Khas Belanjawan bagi mendapatkan formula terbaik untuk mencabar Bajet 2014 yang akan dibentangkan Najib Razak pada 25 Oktober ini.