Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak kesal kebenaran yang diberikan tanpa kawalan oleh Kerajaan Negeri Perak di Daerah Kerian terutamanya, yang akan menukar kategori pertanian kepada zon industri Ikan Arowana tanpa mengambil kira kawasan ‘Keselamatan Tanaman’ atau ‘Food Security’.
Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata kawasan daerah Krian merupakan jelapang padi yang utama di Utara Perak. Perkara itu, katanya, amat serius jika pihak kerajaan negeri hanya mengambil kira keuntungan pendapatan daripada cukai tanah yang akan menambah hasil negeri daripada kesan jangka masa panjang.
“Bagi kami isu ‘Keselamatan Tanaman’ atau ‘Food Security’ amat penting oleh kerana keluasan tanah yang membolehkan penanaman padi yang akan berkurangan akan menjejaskan tanaman padi di masa akan datang. Ianya dalam masa yang sama turut memberikan kesan kepada kawasan takungan air berhampiran di Tasik Bukit Merah menurun disebabkan pembukaan kolam-kolam ikan di sana. Malah ianya juga memberikan kesan kepada pengusaha padi dengan kekurangan bekalan air di sekitarnya, didapati pokok padi terencat pembesarannya, terdapat juga buah padi kurang berisi, terdapat serangan makhluk perosak dan ancaman rumput menjadi semakin serius di sana dan hasil pendapatan mereka juga turut merosot secara mendadak.
“Oleh yang demikian, kami merasakan pihak kerajaan negeri di dalam Perbentangan Bajet 2014 nanti perlu mengambil kira permasalah besar ini kerana ianya berkaitan isu ‘Keselamatan Tanaman’ atau ‘Food Security’ Negara. Kami lontarkan pandangan ini kerana cukup bimbang jika pihak kerajaan negeri tidak mengambil kira keadaan yang sedang berlaku kepada pengusaha padi di sana dan dalam masa yang sama juga kami mencadangkan agar pihak kerajaan negeri untuk menghadkan kawasan industri Ikan Arowana mengikut keperluan yang sesuai. Tanpa menafikan hak industri Ikan Arowana di sana, pihak kerajaan negeri perlu peka isu ‘Keselamatan Tanaman’ atau ‘Food Security’ juga!” katanya.