Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendedahkan kegagalan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Datoh Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri telah dua kali gagal mengotakan janji untuk membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bagan Datoh sejak sekian lama.
Menurut Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss pada 14 Mac 2008 yang zahid mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan membina MRSM tersebut dengan nilai kira-kira RM110 juta. Bagaimanapun selepas lima tahun ia hanyalah satu ‘janji kosong’ dan tiada MRSM yang dibina.
“Pada 22 Jun 2010 pula, Dato’ Seri Zahid yang ketika itu sebagai Menteri Pertahanan sekali lagi mengumumkan akan membina sebuah MRSM di Bagan Datoh tetapi dalam versi yang berbeza iaitu khusus untuk anak Pegawai dan Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula. Sedangkan kelulusan MRSM ini telah diberikan melalui Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK 9) yang lalu, tetapi malangnya sehingga melepasi dua kali Pilihan Raya Umum (PRU) nampaknya masih tidak dilaksanakan lagi. Persoalan kami, dimanakah janji Dato’ Seri Zahid tersebut sehingga ianya masih belum dilaksanakan?
“Kami cukup hairan bagaimana penduduk Bagan Datoh boleh termakan ‘janji kosong’ Dato’ Seri Zahid sedangkan keperluan MRSM tersebut amat penting bagi pembangunan di Bagan Datoh kini. Adakah selepas ini pula konsep MRSM yang akan diumum semula oleh Dato’ Seri Zahid akan berubah? Sekarang ini beliau adalah Menteri Dalam Negeri, adakah MRSM tersebut akan menumpukan khusus untuk anak Pegawai dan Anggota Polis pula? Dato’ Seri Zahid jangan terlalu banyak berjanji pada setiap kali PRU diadakan, kami akan mendedahkan lagi beberapa ‘janji kosong’ Dato’ Seri Zahid sebelum ini yang masih gagal dilaksanakan!” katanya.