Seramai 18,843 pengundi atau 69.22% daripada keseluruhan jumlah pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN itu setakat pukul 2 petang ini, kata jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengundi mula beratur seawal jam 7.30 pagi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Dulang di sini untuk membuang undi pada jam 8 pagi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
Proses membuang undi itu berjalan lancar dalam cuaca baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini, walaupun peraih undi setiap parti yang bertanding dilihat cuba meraih undi orang ramai pada saat-saat akhir di luar pusat mengundi.
Keadaan trafik di pekan Yan juga dilihat lancar dan terkawal namun sedikit perlahan di beberapa jalan utama di sepanjang pusat mengundi di sini.
Bagaimanapun keadaan itu dijangka kembali reda apabila pengundi yang bekerja selesai membuang undi dan masuk bekerja selepas jam 9 pagi.
Seramai 499 pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 116 anggota polis serta 58 ketua tempat mengundi (KTM) terbabit pada proses pengundian ini, yang membabitkan 58 saluran dan 17 tempat mengundi.
Terdahulu, SPR menjangkakan keputusan PRK DUN Sungai Limau akan diketahui selewat-lewatnya 10 malam ini dan pusat penjumlahan undi adalah di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan.
DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, 25,323 orang atau 93 peratus ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.
PRK DUN Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan Mohd Azam Abd Samat dari PAS.
DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pengundi terdiri daripada 25,323 atau 93% Melayu, 1,842 Cina (6.7%) dan 15 India (0.6%) serta etnik lain.
Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abdul Samat.