KEMAMAN – Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta menjelaskan satu laporan yang membimbangkan para peniaga dan ‘pemain korporat’ di Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai Haji Hanafiah Mat berkata, beliau telah dihubungi oleh pihak berkenaan mendesak supaya kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan membuat kenyataan berhubungan dakwaan bahawa Menteri Besar Terengganu adalah ‘Menteri Besar Setahun Sahaja’.
“Mereka datang berjumpa dan menelefon saya meminta saya menyuarakan kebimbangan tentang satu laporan yang menyebut bahawa, Menteri Besar Terengganu akan tamat tempoh pada bulan April tahun depan,
“Satu laman berita juga melaporkan perkara tersebut, jadi saya minta kerajaan menjelaskan bagi meredakan kebimbangan mereka,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat seorang penduduk Razali Ahmad yang menderita kerana penyakit kencing manis di Kuala Kemaman, 11 November lalu.
Menurut Hanafiah yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Laman berita tersebut mendak wa Ahmad Said yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua Mei lalu, akan menjadi Menteri Besar untuk satu tahun sahaja.
Sumber-sumber tertentu mendakwa, orang yang rapat dengan istana telah melihat surat yang ditandatangani oleh Ahmad Said didakwa bersetuju memegang jawatan itu sehingga bulan Mac tahun hadapan.
Sebuah laman web memetik satu sumber yang mendakwa surat itu disimpan di istana dan bila tiba Mac depan, Ahmad Said dikatakan akan melepaskan jawatannya.
Dakwa sumber yag dipetik itu lagi, baru-baru ini beberapa pegawai kanan kerajaan Terengganu telah mengadu salah laku Menteri Besar itu kepada Perdana Menteri, sebaliknya Najib telah memberitahu Ahmad Said tentang pertemuan mereka.
Sebelum itu, pihak media dilaporkan pernah mengajukan soalan tersebut kepada Ahmad Said selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
Ahmad Said menafikan dan berkata “ia cuma cakap-cakap politik” sebagaimana ayat yang biasa keluar dari mulutnya.
Namun begitu, Hanafiah berkata, desas desus begitu kuat sehingga ada ‘kelompok’ dalam Umno yang telah ‘menamakan’ pengganti kepada Ahmad Said.
“Sumber dalaman Umno Terengganu menyebut beberapa nama, antaranya ADUN Seberang Takir, khabarnya bertiup begitu kencang, bakal menggatikan Ahmad Said,” dakwa Hanafiah.