Kenyataan Media: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong cadangan agar Jabatan agama Islam di seluruh negara bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya pihak polis bagi memastikan tahap keselamatan pegawai-pegawai penguat kuasa terjamin. DPPM merasakan pegawai penguatkuasa juga perlu diberi perlindungan sewajarnya memandangkan tugasan mereka yang begitu sukar dan berisiko tinggi.
Bagi DPPM, pegawai penguatkuasa agama juga terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk bunuh kerana mereka bertanggungjawab menjalankan sesuatu operasi yang berbahaya seperti membanteras kumpulan ajaran sesat, aktiviti perjudian dan maksiat. Kesemua aktiviti tersebut adalah berbahaya kepada masyarakat dan perlu dicegah semaksimum mungkin kerana ia adalah penyakit yang merosakkan umat. Saki-baki kelompok yang terselamat dalam sesuatu operasi pasti merasa benci dan dendam serta sanggup melakukan apa sahaja bagi melunaskan dendam kesumat mereka.
Apa yang berlaku ke atas Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Agama Islam Pahang, Ahmad Raffli Abdul Malik yang ditembak mati di hadapan rumahnya mempunyai kaitan dengan tugasan beliau sebelum ini. DPPM merasa bimbang mungkin ada pegawai penguatkuasa agama lain yang turut menjadi mangsa kekejaman pihak tertentu yang benci kegiatan mereka diperangi.
DPPM juga bersetuju agar pegawai penguatkuasa agama dibekalkan dengan senjata api semasa proses dan operasi yang mereka jalankan. Dalam pada itu, mereka juga perlu dipantau agar keselamatan mereka terjamin dan dilindungi disamping mengelakkan berlakunya penyalahgunaan senjata api yang dibekalkan.
Justeru, kawalan keselamatan di rumah, di tempat kerja dengan rondaan dan lawatan berkala dan serta kawalan ketat semasa operasi bersama pasukan keselamatan adalah penting bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran dan mangsa jenayah. Apa yang diharapkan adalah pegawai penguatkuasa agama merasa selesa dan tenteram dengan tugasan mereka dan mampu meningkatkan skop tugasan mereka merangkumi pelbagai lokasi.
DPPM berharap dengan kerjasam erat dua pasukan tersebut, jenayah dan maksiat mampu dicegah di negara ini. Tidak ada maaf bagi mereka yang terlibat melakukan jenayah, dan tidak ada tempat buat pelaku maksiat bertapak di negara ini.
SUHAIZAN KAIAT
Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
Calon Ketua Pemuda PAS Pusat