Kerajaan BN dikecam kerana ingin melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2015 tanpa menjelaskan secara terpeinci cara pungutan cukai tersebut dikuatkuasakan.
Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop berkata Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak seolah-olah cuba memperdaya rakyat kerana menyembunyikan mekanisme percukaian GST yang mungkin juga turut memungut cukai tak langsung (VAT). Katanya, Amerika Syarikat (A.S) misalnya, melaksanakan GST tetapi tidak memungut VAT.
“Najib kata 160 buah negara menggunakan (sistem percukaian) VAT tetapi beliau tidak menyatakan AS menolak sistem cukai tidak langsung,” katanya dalam satu forum membicarakan GST di Senawang pada 16 November lalu.
Rosli turut memberitahu negara seperti Itali, Greek dan Sepanyol mengenakan cukai sebanyak 20 peratus mengikut sistem VAT. VAT adalah sejenis cukai penggunaan yang dikenakan ke atas apa sahaja nilai yang telah ditambah kepada sesuatu produk.
Sementara itu, Ketua DAPSY Loke Siew Fook berkata GST bukan isu bermusim biarpun kerajaan mengumumkan akan melaksanakannya pada April 2015.
“Sebenarnya dokumen Rang Undang-Undang GST sudah ditetapkan sejak 2010 tetapi hanya diletak di atas meja ahli parlimen selama dua atau tiga tahun.
“Proses ini tidak dijalankan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13). Sekiranya dokumen Rang Undang-Undang diluluskan sebelum 2013 ianya akan menjadi isu (dalam kempen pilihanraya),” katanya lagi.
Turut hadir dalam forum itu Adun dan pimpinan Pakatan Rakyat setempat bersama kira-kira 100 rakyat pelbagai kaum.