Perlantikan Ustaz kazim Elias sebagai ahli majlis tertinggi Umno yang baharu amat mengejutkan. Hal itu berikutan beliau masih merupakan ahli PAS dan tidak diketahui adakah beliau telah menyertai Umno.
Menurut Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Mohammad Kazim Elias adalah Ahli PAS semenjak mendaftarkan diri pada 17 Julai 1998 dengan Nombor Keahliannya – 0475276 di PAS Kawasan Tambun dan di PAS Cawangan Kampung Manjoi.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss melahirkan rasa terkejut apabila Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan kazim sebagai MT yang baharu mulai semalam.
“Persoalan kami adakah Kazim telah menyertai Umno sedangkan beliau adalah Ahli PAS yang sah? Tidakkah untuk membuat sebarang perlantikan politik memerlukan seseorang itu menyertai parti tersebut terlebih dahulu?
“Kami tidak mahu membuat sebarang andaian selagi Kazim tidak mengesahkan penerimaan jawatannya tersebut. Bagi kami, jika Kazim telah mengesahkan menerima perlantikan jawatan tersebut, beliau sudah tentu memikirkan implikasi kedudukannya sekarang ini sebagai Pendakwah Bebas.
“Ini kerana dahulu Kazim tidak memegang mana-mana jawatan politik dan kini jika benar beliau menerimanya akan memberikan kesan untuk beliau memberikan tazkirah atau kuliah di Masjid-Masjid di Perak khasnya.
“Umum mengetahui, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIAMPk) dan Raja Dr Nazrin Shah, Pemangku Seri Paduka Sultan Perak tidak membenarkan mana-mana individu berjawatan politik menjadikan masjid sebagai pentas politik.
“Ianya turut akan memberikan kesan termasuk sebagai jemputan di Radio Perak FM, tazkirah di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Raja Iskandar tidak bersetuju jika terdapat mana-mana pihak memberikan tekanan kepada Kazim untuk mengambil sebarang jawatan dalam Umno. Beliau meminta agar Kazim membuat kenyataan rasmi segera tentang kedudukannya.
“Adalah malang buat Dato’ Sri Najib dan Badan Perhubungan Umno Negeri Perak jika Umno tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu dari Kazim dan hanya membuat pengumumannya sahaja.
“Ini sebenarnya amat memalukan Dato’ Sri Najib dan orang yang mencadangkannya jika Kazim menolak perlantikannya. Marilah kita sama-sama menunggu Majlis Mengangkat Sumpah perlantikan jawatan dalam Umno nanti pada 4 Disember ini,” katanya.
.