Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menunggu komen Ketua Pergerakan Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan ‘pemilihan semula’ Pergerakan Wanita Umno Bahagian Gopeng setelah beliau turut memberikan komen terhadap pemilihan PAS yang dikatakan tidak mampu mengurus pemilihan parti.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata pihak PAS kini ingin melontar persoalan, mengapakah pemilihan di peringkat bahagian Umno gagal dikendalikan sehingga terdapat pengundi tidak layak pada pemilihan Oktober yang lalu.
“Sungguh memalukan bagi Umno yang sudah sebulan lebih terpaksa mengadakan kembali pemilihan semula oleh Wanita Umno Gopeng yang memberikan kemenangan kepada Datuk Hamidah Osman baru-baru ini. Tidak pula Khairy Jamaluddin berminat untuk mengaku bahawa pemilihan dalam Umno juga terdapat kelemahan di dalam memastikan yang benar-benar layak mengundi sebelum ini. Jika pemilhan PAS berlaku kesilapan di dalam kertas undi dan Jawatankuasa Pemilihan mengaku akan kesilapan tersebut serta bersedia meletak jawatan atas rasa tanggungjawab, bagaimana di dalam pemilihan Umno?
“Jelas pergolakan pemilihan Wanita Umno Gopeng berkaitan pengundi tidak layak mengundi tetapi diberikan juga mengundi dan lebih sebulan barulah arahan mengadakan semula pemilihan oleh Pejabat Agung Umno. Dan kini timbul pula bantahan agar pemilihan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gopeng turut diadakan semula dan sebelum ini terdapat bantahan daripada Ahli Pemuda Umno Ipoh Barat yang memboikot Mesyuarat Agung Pemilihan Pemuda Umno Ipoh Barat pada bulan Oktober yang lalu. Kita semua tunggu respon dan komen daripada Khairy Jamaluddin yang lantang berkata-kata,” ujarnya.