Kenaikan tarif elektrik yang diuar-uar akan berlaku pada tahun hadapan menjadi kenyataan apabila Menteri Tenaga Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.
Ongkili mengumumkan tarif meningkat 15 peratus atau 4.99 sen di Semenanjung dan Sabah sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen berkuatkuasa 1 Januari 2014. Harga baharu pada 38.53 sen per kwj berbanding ketika ini 33.5 sen per kwj. Pemimpin BN itu berkata kenaikan tidak melibatkan pengguna domestik di bawah 300 kwj atau kira-kira RM70.
Bagaimanapun, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli membidas kenyataan tersebut yang disifatkannya tidak realistik. Katanya, sektor industri yang terjejas dengan kadar tarif terbaharu pasti akan menaikan harga produk keluaran mereka dan memberi kesan rantaian kepada kenaikan harga barangan pengguna.
“Kenaikan ini akan menyebabkan kenaikan kos tenaga dalam bidang industri. Kilang-kilang terpaksa menyerap kos ini.
“Kesannya, gaji pekerja kilang yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah mungkin tidak akan dinaikkan. Pilihan kedua ialah menaikkan harga produk keluaran yang akan memberi impak kepada rakyat,” katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau lagi, golongan pelajar yang kebanyakannya menyewa rumah beramai-ramai juga turut menerima kenaikan ini.
“Golongan pelajar selalunya menyewa satu rumah beramai-ramai. Tentu bil elektrik mereka tinggi dan mereka tergolong dalam kumpulan yang dikenakan kenaikan tarif sedangkan mereka tidak mempunyai pendapatan,” ujarnya.
Rafizi mengecam tindakan kerajaan BN yang mempertahankan perjanjian dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) tetapi mengkhianati rakyat.
“Kita menuntut kerajaan menyemak semula perjanjian berat sebelah antara syarikat IPP dengan TNB. Perjanjian itu hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan kroni yang rapat dengan pemerintah, sedangkan rakyat pula menanggung beban,” tegasnya.