S: Selepas pilihan raya umum (PRU) – 13 mood orang Melayu terhadap politik menurun. Bagaimanakah PAS menghadapi keadaan ini?
M: Politik adalah persepsi. Selepas PRU 2008 kerajaan BN mengikut kajian profesor Dr Bridget Welsh, kerajaan BN telah berbelanja RM58 bilion untuk meningkatkan imej di kalangan rakyat.
Dibina persepsi orang Melayu kononnya tidak selamat di bawah Pakatan Rakyat yang ingin ambil alih Malaysia. Indoktrinasi ini mendatangkan kesan. Golongan seperti Perkasa, Isma dan sebagainya diberi publisiti.
Orang Melayu diperangkap. Tapi perangkap ini sementara, bukan kekal. Jadi, dalam masa empat tahun ini, tugas PAS, KEADILAN dan DAP bekerja erat bagi membuang persepsi Umno melindungi Melayu.
Kita akan buat retreat dalam PAS dan dalam Pakatan. Kita akan yakinkan rakyat, lihat di Selangor dari segi kontrak, perniagaan dan kakitangan kerajaan, lebih baik berbanding di bawah Umno. Begitu juga di Pulau Pinang.
S: Adakah isu kenaikan harga barang akan menjadi katalis kebangkitan rakyat selepas PRU?
M:Ya. Isu itu jika kita berjaya menerangkannya kepada rakyat, tentang rasuah dan ketirisan menyebabkan mereka menanggung beban, saya yakin penduduk luar bandar akan marah kepada pemerintah. Cuma bagaimana kita nak terjemah menjadi undi pada PRU akan datang menjadi cabaran kepada kita.
S: Adakah kemarahan akan diluahkan secara demonstrasi?
M:Sebelum demonstrasi gerakan penerangan perlu dipergiat. Demonstrasi akan dilakukan dengan kerjasama NGO. Kita lebih suka NGO mengepalai daripada parti politik. Kami menyokong NGO yang membantah kenaikan harga barang, PRU tidak bersih dan sebagainya.
S: Mungkinkah demo sebesar Bersih 3.0?
M:InsyaAllah kita akan menggerakkan demonstrasi sebesar itu. Pakatan akan menjadi tenaga utama dan NGO sebagai barisan hadapan. Selain itu, saya minta ahli-ahli Umno bekerjasama dalam menentang penyelewengan dan ketirisan. Orang Umno tidak terlepas daripada apa yang berlaku sekarang ini. Kerana itu kita harapkan Umno, MCA, Gerakan dan lain-lain parti turun bersama.
S: Perlukah ditubuhkan sekretariat baru untuk menggembeleng parti komponen BN?
M:Ya. Kita akan tubuh. Sekarang Bersih diketuai Maria Chin, kita akan bincang dengan dia. Kita akan ajak secara rasmi (komponen BN), kalau pertubuhan tak mahu kita ajak ahli mereka. Kita akan gerakkan pada tahun hadapan.
S: Media memainkan isu syiah. Bagaimanakah PAS melihat isu ini?
M:Soal mazhab adalah ilmiah dan perlu dibincang oleh orang yang ada ilmu bukan dicampak secara terbuka kepada rakyat. Benda (pertentangan) ini dah berlangsung lebih 1000 tahun.
Polemik Sunnah dan Syiah pada saya ditimbulkan selepas perang di Syiria. Kononnya perang mazhab. Bagi saya perang di Syiria, Somalia dan Algeria hanyalah rebutan kuasa. Malangnya kemelut ini di bawa ke Malaysia dan merugikan keseluruhan orang Islam.
Isu mazhab di Arab agak reda. Tetapi di Malaysia masih dimainkan. Saya yakin isu ini akan reda dengan isu kenaikan harga barang dan sebagainya.
S: Umno mahu fahaman ahli sunnah wal jamaah dimasukkan dalam perlembagaan
M:Itu paling mengarut. Saranan ini menimbulkan perpecahan yang dahsyat.
S: Malaysia mengiktiraf fahaman syiah dalam deklarasi Amman pada 2005. Dua mahzab syiah Jaafari dan Zaidi diiktiraf. Adakah kerajaan berputar ke belakang.
M:Sudah jadi pengetahuan umum tentang sidang di Jordan itu. Begitu juga al Azhar beberapa kali membuat penegasan sejak zaman Sheik Mahmood Shaltut (1960an) mengenai mazhab ini, Zaidiah dan Jaafari. (Penganut Syiah) pergi ke Mekah. Di Arab Saudi penduduk syiah hampir dua juta orang.
Sebab itu SM Idris (CAP) dan cikgu Azmi (TERAS) keluarkan balik isu persidangan Jordan. Ini untuk cari penyatuan. Dahulu di Eropah berlaku pertentangan mazhab . Mereka berbunuh sesama sendiri antara Kristian Protestan, Khatolik dan sebagainya. Kemudian mereka mencari penyelesaian dan membina Eropah yang hebat. Sekarang perpecahan itu berada di dunia Islam. Terserah kepada orang Islam nak cari keharmonian atau perpecahan.
S: Dasar PAS terhadap syiah?
M:Saya mengikut saranan presiden PAS, isu ini perlu perbincangan dan apa yang berlaku di Jordan itu, melibatkan persidangan ulama semua mazhab, perlu diterima pakai oleh negara kita untuk perpaduan.
S: Tuan Haji selalu pergi ke Lubnan, untuk tujuan apa?
M:Saya tertarik dengan gerakan massa berteraskan kebajikan macam Hezbollah. Orang lihat Hezbollah dari sudut bertempur dengan Israel. Tapi saya lihat dari sudut gerakan kebajikan. Mereka disokong bukan Islam, Drus, Kristian dan yang tak percaya agama, semua bersama. Kebajikan inilah yang ulama kita perlu tiru. Macam mana Hezbollah buat sekolah, hospital sebelum ada kerajaan pun. Mereka ada pimpinan seperti Abas Musawi, Hassan Nasrullah. Pemimpin pakai serban tapi penyokong dari semua golongan. Soal bersenjata kita tidak terlibat.
Iran ada kelemahan tetapi mereka boleh bertahan menerima gugatan dari Eropah, mempertahankan kepimpinan ulama sampai sekarang. Mereka tidak mudah diperangkap. Lihat rundingan nuklear 5 + 1 dengan Amerika dan Eropah, mereka berjaya hadapi kuasa besar.
S: Tuan haji antara pencetus kepimpinan ulama Dalam PAS pada 1980an ketika memimpin Pemuda PAS. Boleh ceritakan.
M:Selepas revolusi kita lihat keupayaan ulama Iran menggembeleng tenaga dan menguasai politik. Saya mahu ulama PAS muncul seperti itu. Bersama rakan Mustafa Ali, Subky Latif dan sebagainya, kita memperjuangkan apa yang dipanggil kepimpinan ulama. Akhirnya terbentukkan Majlis Syura, satu kepimpinan tertinggi.
Saya ambil contoh Dr Hassan Ruhani (Presiden Iran). Dia ada PhD dalam undang-undang antarabangsa dari University of Edinburgh, England. Pada masa sama hujatul Islam. Mereka ini boleh berperanan di peringkat antarabangsa. Kita di sini terlalu banyak golongan menghukum. Keadilan sosial tak menjadi keutamaan
Islam utamakan kebersihan tapi negara Islam kotor. Begitu juga amanah tapi negara Islam sikap amanah paling rendah. Di negara Eropah boleh jual suratkhabar tanpa tuan. Letak pagi, ambil duit petang. Kalau kita buat, suratkhabar tak ada, duit pun tak ada (ketawa) Nilai-nilai inilah yang saya cuba ketengahkan. Peranan ini perlu dimainkan oleh ulama.
S: Apa pendapat Tuan Haji mengenai muzakarah?
M:Tak tau lah isu ini timbul berapa kali. Muzakarah (perbincangan) timbul bila Umno lemah. Seperti selepas 2008. Masa mereka kuat pada 1978 hingga 1986 muzakarah tak jadi isu. Bahkan berlaku penangkapan ISA ke atas pemimpin PAS, peristiwa Memali, pembunuhan pemuda PAS di Lubuk Merbau. Selepas (pemecatan) Anwar, orang Melayu bergolak. Muzakarah pun ditaja.
S:Pernahkah berlaku muzakarah?
M:Tak ada secara rasmi. Bersembang ada. Saya selalu bersembang dengan pemimpin Umno di lapangan terbang (ketawa)
S: Bagaimanakah pendapat golongan yang berkecuali menyatakan sekiranya PAS, Umno dan KEADILAN bersatu di parlimen maka bukan Islam tidak berani menuntut penggunaan kalimah Allah di mahkamah
M:Kalau bercakap pasal kaum Arab dan berjaya lama. Yahudi hanya 5 juta sahaja di sana. Hal masyarakat jika diselesaikan melalui kaumiyah tak akan berjaya. Inilah unsur yang ditiupkan oleh British untuk menumbangkan empayar Uthmaniyah dulu. Slogan Melayu Mufakat Islam Selamat, ini jahililah.
Saya tanya, isu nama Allah politik atau akidah? Bila mahkamah putuskan penerbitan Herald tidak boleh guna nama Allah, kabinet putuskan Sabah Sarawak boleh.
umno nak tunjuk dia jaga agama. Bagaimana pula lagu-lagu kebangsaan negeri? Berapa negeri yang menyebut Allah selamatkan Sultan? Macamana orang bukan Islam nak sebut? Tak kan nak ganti dengan perkataan Tok Pekong? Jadi isu hina Sultan pula
S: Tuan haji menyebut dalam muktamar mengenai usaha menawan Johor dalam PRU akan datang
M:Boleh dilakukan. Kita tengok DUN yang kalah bawah 2,000 undi hampir 50 peratus kerusi. Kalau KEADILAN dan PAS berjaya yakinkan 6 % orang Melayu menyokong kita, tidak mustahil Pakatan boleh menawan Johor
S: Selain berceramah apa yang dibuat mengisi masa lapang?
M:Kegemaran saya memasak . Saya masak sejak dalam kem Kamunting (ISA). Selain itu saya suka melancong. Bukan untuk beli belah, saya suka ke muzium. Misalnya, pergi ke New Delhi (muzium) kita boleh lihat jatuh bangun pemerintahan Islam di India. Kerajaan Islam Moghul melakukan pembaziran dan rakyat benci, akhirnya jarum luar masuk dan pemerintah Islam jatuh.