Dewan Pemuda PAS Negeri Perak ternanti-nantikan pendirian Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak setelah beberapa pengumuman kenaikan harga oleh Kerajaan BN yang memberikan kesan kepada rakyat terutamanya generasi muda.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss pengurangan subsidi minyak petrol, penarikan subsidi harga gula, peningkatan tarif eletrik, tambang perkidmatan pengangkutan awam dinaikan, cukai tasiran pintu dinaikan telah secara langsung memberikan kesan berganda kepada perbelanjaan harian rakyat. Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno wajar menegur PM Najib agar tidak melayan permintaan daripada syarikat kroni untuk terus menaikkan harga.
“Bagi meredakan kebimbangan anak muda khasnya, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata bahawa Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan Makmal Kaji Kos Sara Hudup Rakyat pada tahun hadapan.
“Adakah ianya akan menyelesaikan perkara utama untuk mengatasi barangan keperluan yang telah dinaikan? Adakah dengan tertubuhnya makmal tersebut akan mengurangkan harga keperluan harian yang sudah meningkat harganya? Adakah Pemuda Umno Perak khasnya akan juga menubuhkan ‘badan bertindak’ seumpamanya di Negeri Perak untuk menyelesaikan masalah kenaikan barangan keperluan di sini?
“Kami mencabar Pemuda Umno Perak untuk berdebat bagi membela generasi muda khasnya yang bergelumang membina masa depan mereka yang terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi berikutan keperluan harian telah meningkat kini.
“Apa yang ingin rakyat lihat hasil perdebatan tersebut, apakah formula yang akan memastikan keperluan harian khasnya mampu diturunkan bagi meringankan beban yang terpaksa rakyat tanggung sekarang ini,” katanya.