Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam didakwa gagal membela dan memastikan nasib golongan pekerja terutama kakitangan bank di negara ini, tegas Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) J.Solomon dalam satu sidang medianya di Kuala Lumpur, hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan kegagalan Subramaniam bertindak terhadap aduan yang disuarakan kesatuan tersebut berhubung tindakan Hong Leong Bank memecat 27 pekerjanya yang enggan terlibat dengan program penghuban dan pemusatan oleh institusi perbankan itu yang disifatkan NUBE sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Tindakan Bank ini hanya menyusahkan pekerja yang terbabit, kita telah bawakan perkara ini ke pada pengetahuan Menteri Sumber Manusia, malah isu ini juga pernah disuarakan 6 orang Ahli parlimen pada 2 Disember lalu.
“Namun kementerian tersebut tidak melakukan apa-apa bagi memastikan kesemua pekerja yang terbabit mendapat pembelaan yang sewajarnya, sedangkan Menteri Sumber Manusia mempunyai kuasa yang luas di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang memberikan kuasa kepada menteri untuk mengambil apa-apa tindakan yang dirasakan perlu atau berkaitan bagi maksud penyelesaian pertikaian seperti dalam kes ini.
“Beliau seharusnya boleh memanggil ketiga-tiga pihak untuk bermesyuarat bagi menangani isu-isu ini kerana kerajaan itu telah meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 144, namun tiada, ” jelas Solomon lagi.
Seramai 27 dari 49 orang kakitangan Hong Leong Bank dilaporkan telah diberhentikan kerana tidak mahu mematuhi arahan pemindahan fasa 2 penghuban dan pemusatan oleh institusi perbankan berkenaan yang disifatkan menzalimi mereka.
Sementara itu dalam sidang yang sama Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), Mohd. Khalid Atan menyifatkan Menteri Sumber Manusia, S.Subramaniam bertindak pentingkan majikan berbanding nasib pekerja yang terdiri dari golongan rendah dan sederhana.
“Menteri tak peduli pasal nasib pekerja, tapi dia lebih peduli nasib bank,” tegas Khalid.