Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mengesyaki pembelian saham Progress Energy dalam nilai yang tinggi oleh Petronas mempunyai hubungkait dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melepaskan jawatan beliau sebagai penasihat Petronas baru-baru ini mungkin lebih mengetahui dan beliau mampu menjawab segala kemelut yang berlaku dalam syarikat minyak terbesar negara itu.
“Saya tidak tahu tetapi apabila ada isu-isu begini mungkin Mahathir sedia maklum dan sebab itu pandangan beliau mengenai perkara ini boleh membawa lebih banyak maklumat kepada kita.
“Saya tidak menolak (ada campur tangan Najib dan orang beliau), tetapi lebih baik kalau kita dengar daripada mulut Mahathir sendiri.
“Cuma yang pasti ialah keputusan-keputusan begini membayangkan seolah-olah ada banyak campur tangan dalam Petronas akhir-akhir ini,” katanya kepada Suara Keadilan.
Rafizi dalam satu sidang medianya pada 17 Disember lalu percaya Petronas dipengaruhi untuk membeli Progress Energy pada harga yang begitu tinggi dan tidak mengikut pertimbangan komersil semata-mata.
Beliau merasakan ini salah satu faktor yang menyebabkan Mahathir meletakkan jawatan sebagai penasihat Petronas.
“Mungkin keputusannya tidak dihormati dan kurang bersetuju dengan campur tangan yang berlaku.
“Sebelum ini hanya beliau yang ada pengaruh tetapi sekarang Najib dan orang-orang beliau juga mempunyai pengaruh,” ujarnya.
Tambah Rafizi, beliau tidak menolak kemungkinan perletakkan jawatan Mahathir itu juga kerana matlamat beliau yang tidak tercapai untuk menguasai industri minyak di negara ini.
“Keluarga Mahathir mempunyai operasi minyak yang kedua terbesar di negara ini selepas Petronas.
“Mereka ada Kencana-Sapura di huluan dan Petron di hiliran serta kilang penapis minyak dan sebagainya.
“Saya percaya Mahathir yang berada lama dalam Petronas dan mengetahui banyak rahsia mengenainya boleh menggunakan modal tersebut sebagai senjata untuk menyerang pihak Najib,” katanya lagi.