Ulasan: Thailand yang terus mengharungi iklim politik pasang surutnya. Ketegangan politik dinegara itu bukanlah satu berita yang menjadi kejutan. Tidak lama dulu, rakyat secara pukal telah turun ke jalanraya menzahirkan penolakan besar-besaran terhadap regim Thaksin Sinawatra. Kini perkara sedemikian berlaku di zaman adiknya pula iaitu Yingluck Shinawatra. Pengunduran Thaksin yang digantikan oleh saudara sealiran darahnya itu tidak menyelesaikan ketegangan politik negara itu. Rakyat terus konsisten dengan pendirian mereka untuk menentang pemerintahan regim itu.
Perdana Menteri,Yingluck Shinawatra telah pun membubarkan parlimen negara itu dan pilihanraya umum akan diadakan pada awal Februari nanti. Dikesempatan itu, majoriti rakyat di negara itu turun menzahirkan penolakan mereka terhadap legasi kepimpinan keluarga Shinawatra yang menguasai kekayaan negara.
Walaupun dilihat pentadbiran dan politik di negara itu tidak stabil, dikejutkan dengan pengeboman di merata tempat namun ianya tidak menjejaskan kehidupan seharian rakyat di negeri itu yang hidup dalam keadaan yang sangat aman tenteram seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Suasana tersebut bukanlah satu perkhabaran dongeng, tetapi ianya adalah satu realiti.
Suasana politik di selatan Thai itu sedikit sebanyak sama seperti apa yang berlaku di Malaysia iaitu bantahan rakyat terhadap pemimpin yang membolot hasil mahsul untuk kepentingan diri sahaja. Rakyat mahukan nikmat kekayaan negara diagihkan sebaik mungkin kepada rakyat.
Saya bersama rakan lain sempat mengikut perkembangan politik di negeri itu. Himpunan demi himpunan yang dilakukan oleh pembangkang dan rakyat diseluruh negara Thailand berlangsung dengan penuh aman. Tidak ada berlaku apa-apa kekecohan. Balingan bom asap dan gas pemedih mata disana tidak berlaku, pihak berkuasa mereka boleh menumpukan kerja lain yang lebih menfaat daripada membedil rakyat sendiri. Pihak polis tidak dijadikan boneka untuk mencapai matlamat peribadi mana-mana pihak. Pemerintah disana tidak langsung mencontohi apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang melakukan pelbagai dakyah dan usaha untuk menggagalkan himpunan serta bantahan rakyat.
Banyak tempat saya kunjungi dan yang paling menarik adalah suasana di bandar Hatyai. Bandar itu terkenal sebagai salah satu lokasi pilihan pelancong diseluruh dunia terutama rakyat Malaysia. Himpunan berlangsung dengan penuh aman dan meriah walaupun perarakan tersebut diadakan dalam jarak yang panjang melalui lokasi yang sesak dengan kehadiran pelancong. Ianya tidak mengganggu aktiviti pelancong yang sedang asyik membeli belah.
Mereka diberi ruang yang sebaik mungkin tanpa ada yang cuba mencabuli hak rakyat untuk berhimpun menyatakan ketidakpuashatian. Pihak berkuasa termasuklah pihak Polis menjalankan tugas sebaik mungkin memastikan perjalanan perhimpunan serta trafik bergerak lancar.
Jika di Malaysia, suasana murni sedemikian tidak dapat dilihat sebaliknya pihak berkuasa menjadi punca kekecohan bagi merealiasasikan usaha mereka untuk mengaburi mata rakyat dengan menggambarkan negara sedang cuba diporak perandakan. Disana tidak ada pula pihak-pihak yang gemar untuk membuat drama lucu seperti membuat laporan polis beramai-ramai, tarian punggung dan sebagainya. Tidak seperti Malaysia, ianya telah menjadi satu rutin setiap kali ura-ura perhimpunan akan diadakan.
Demokrasi Malaysia dengan Thailand sangat berbeza walaupun kelihatan negara itu sentiasa dalam keadaan tidak terkawal disebabkan berlakunya pelbagai kejadian bom dan sebagainya tetapi secara realitinya penghormatan hak rakyat di negara jiran itu lebih terpuji. Hak rakyat disana dihormati sebaik mungkin! Kerajaan Malaysia patut malu, negara yang dilihat tidak aman sebenarnya lebih aman daripada negara kita.
Kerajaan kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razakperlu mengambil pengajaran daripada negara Thailand yang menghormati suara rakyat. Jangan sesekali mencabuli hak rakyat untuk berhimpun menyatakan bantahan. Najib sepatutnya berterima kasih kepada rakyat yang sentiasa prihatin untuk menegur akan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan. Tindakan untuk mengancam rakyat untuk menakut-nakutkan bukanlah perkara yang bijak. Suara rakyat suara keramat! Jangan cabuli hak kami!
*Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia