Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengharapkan Kerajaan Negeri Perak tidak akan mengulangi pembaziran yang dilakukan sebelum ini di dalam urusan penyelenggaraan Kereta Rasmi yang digunakan oleh pihak Menteri Besar Negeri Perak, Exco Kerajaan Negeri Perak dan juga semua Pegawai-Pegawai yang diberikan hak menggunakannya. Walaupun sebelum ini pada awal September 2012 yang lalu, Kerajaan Negeri Perak telah pun membeli beberapa buah Kereta Rasmi model Nissan Teana 2.0L (A) Luxury untuk tujuan Pegawainya dan bukannya model Proton Perdana ataupun Proton Inspira ketika itu.
Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata BN sebelum ini mempertikaikan ketika Pakatan Rakyat (PR) memerintah Negeri Perak apabila menukar Kereta Rasmi model Toyota Camry 2.4V kerana penyelenggaraan model Proton Perdana V6 terlalu tinggi.
“Antara pendedahan dilakukan ketika itu adalah kos penyenggaraan dan baik pulih kereta Bekas Menteri Besar Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Tan Sri Mohamed Ghazali sahaja berjumlah RM222,343.26 dan beberapa Bekas Exconya ketika itu seperti Kereta Rasmi Dato’ Tan Chin Meng – AFD 333 RM102,884.63, Dato’ Mohd Zaim Abu Hasan – AFD 99 RM103,896.03 serta Dato’ Ho Chan Weng – AFD 66 RM105, 783.99 yang ianya mampu melebihi pembelian baru model Proton Perdana tersebut juga.
“Ini tidak termasuk juga beberapa pembelian Kereta Rasmi model Honda Accord 2.4L dan 2.0L yang turut digunakan oleh Pegawai Tinggi Kerajaan Negeri. Apa yang menjadi kebimbangan kami adalah, pihak Kerajaan Negeri perlu berhemah dan meminimakan kos penyenggaraan dan baik pulih Kereta Rasmi dan ianya akan meningkatkan kos pengurusan secara tidak langsung dan tidak efisien di masa akan datang. Kami cukup bimbang nanti isu kos penyenggaraan dan baik pulih Kereta Rasmi akan memalukan pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat Negeri Perak sekali lagi!” katanya.