PAS mempersoalkan adakah kerajaan merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung keputusan kerajaan dalam penyelesaian sepuluh perkara (10 point Solution) yang berkaitan dengan isu kalimah Allah.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar hari ini berkata, ini kerana Yang di-pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam titah baginda sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-86 kelmarin menyeru agar kalimah Allah dihormati dan dilarang penggunaan oleh agama lain kerana ia merupakan hak eksklusif umat Islam.
Baginda juga bertitah, Majlis Fatwa Kebangsaan (1986) telah membuat ketetapan yang sama berhubung penggunaan kalimah tersebut.
“Jadi persoalannya di sini, adakah keputusan yang dibuat oleh kabinet yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam penyelesaian sepuluh perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Fatwa Kebangsaan atau pun tidak,” soalnya ketika ditanya Harakahdaily.
Beliau menegaskan perkara ini ditimbulkan bukan untuk memanjangkan isu tersebut tetapi untuk mendapatkan penjelasan kerajaan sama ada keputusan tersebut hanya untuk kepentingan politik ataupun sebaliknya.
“Najib dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu tampil segera memberi penjelasan tentang isu ini, kita tidak mahu keputusan yang dilakukan hanya kepentingan politik mereka sahaja.
“Kalau di Selangor kita diminta akur dengan titah Sultan Selangor adakah kerajaan akan akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong,” sambung beliau
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan jika kerajaan akur dengan titah tersebut adakah kerajaan bersedia untuk mengumumkan pembatalan penyelesaian sepuluh perkara itu sebagai menghormati apa yang telah dititah oleh Yang di-Pertuan Agong.
Penyelesaian sepuluh perkara yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dialamatkan kepada pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Ng Moon Hing membenarkan penganut Kristian Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam kitab Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang.