Pertelagahan politik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tidak membawa kebaikan kepada rakyat Selangor bahkan memberi gambaran negatif di mata rakyat terhadap imej politik Pakatan Rakyat,” tegas Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.
Menurut beliau, ketika rakyat sedang dihimpit kenaikan kos sara hidup akibat tatakelola serta urus tadbir negara yang tiris dan penuh rasuah oleh kerajaan UMNO/BN, perbalahan yang berlaku di Selangor tidak sedikit pun membantu apa-apa.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Suhaizan menyeru agar pertelagahan dalaman itu ditamatkan segera.
“Kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat sewajarnya memberikan keutamaan serta fokus yang tidak berbelah bahagi kearah isu-isu kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Ia akan menjadi cerminan perbezaan antara pentadbiran Pakatan Rakyat berbanding Umno/BN; bukannya mempertajamkan lagi konflik dalaman yang hanya akan meruntuhkan tanggapan baik rakyat terhadap Pakatan,” ujarnya.
Beliau menambah, kemampuan meraih 53 peratus undi popular dalam PRU13 lalu seharusnya memberikan keinsafan kepada Pakatan Rakyat bahawa lebih separuh rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada Pakatan untuk membawa reformasi dalam pentadbiran negara.
Suhaizan mahu pemimpin Pakatan Rakyat mengelak politik perebutan kuasa dan perbalahan berpanjangan seperti diamalkan Umno/BN yang akhirnya memangsakan rakyat.
“Sebarang isu dalaman perlu diselesaikan segera mengikut saluran parti dan tidak wajar sama sekali dibiarkan melarat sehingga menghakis persepsi baik terhadap Pakatan yang telah dibina selama ini,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa teguran yang dibuat bukan bertujuan ‘menjaga tepi kain orang’ tetapi satu nasihat dan teguran bagi memastikan survival jangka panjang kerajaan negeri ditadbir Pakatan serta maslahat rakyat.