Setelah pusat mengundi ditutup jumlah yang keluar mengundi tidak mencecah 70 peratus. Keadaan itu menjejaskan sokongan kepada Pakatan yang menjangkakan peratusan sehingga 75% bagi mengekalkan kemenangan lebih 5,000 majoriti sebagaimana dalam PRU 13 lalu.
Bagaimanapun, banyak pemerhati berpendapat PKR mampu menang PRK Kajang tetapi akan menghadapi saingan sengit dari Bn dengan margin majoriti sekecil 5 – 10%
4.30pm Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi bertukar menjadi kubu untuk mengawal pusat penjumlahan undi.
Kawasan tersebut dilengkapi sekatan pagar kawat berduri dan dikawal anggota pasukan keselamatan, termasuk dengan unit anjing pengesan.
4.15pm Wan Azizah beredar dengan sebuah motosikal untuk meminta pengundi keluar menunaikan tanggungjawab. Pusat pengundian akan ditutup dalam masa kurang satu jam.
4pm Tinjauan terbaru menjangkakan PKR menguasai 53 peratus sokongan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang berbanding BN dengan hanya 32 peratus.
Menurut pusat tinjauan Ilham Center, undi Melayu menjadi penentu kemenangan dan langkah PKR meletakkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dikatakan berjaya menawan undi kaum itu.
“Bagi PKR, kelebihan dengan calon Melayu, sedikit sebanyak mampu meraih undi pengundi yang memilih atas asas Melayu-Islam.
“Jumlah ini agak signifikan iaitu jika dilihat kepada jumlah undi calon bebas dalam PRU lalu memperoleh seramai hampir 1,400 orang (pengundi),” laporan kajian itu dipetik.
3.50pm Pusat Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan Sungai Chua – calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba untuk membuat tinjauan perjalanan pilihan raya di dua pusat mengundi ini.
Beliau setia dengan kipas tangan dan sarung tangan yang dipakai sebelah pada tangan kanannya, dipercayai untuk membolehkan beliau bersalam dengan lelaki bukan muhrim.
Beliau kelihatan agak tergesa-gesa sewaktu membuat tinjauan walaupun difahamkan akan melawat hanya satu lagi pusat membuang undi.
3.50pm Sebanyak 60.85 peratus keluar mengundi setakat jam 3pm dan PKR berharap jumlah ini akan meningkat ke angka 75 peratus.
“Saya percaya ini kerana orang yakin Pakatan akan menang jadi mereka tidak serius seperti semasa pilihan raya umum,” kata MP Bayan Baru Sim Tze Tsin.
Menurutnya petugas kempen PKR dikerah untuk menarik pengundi keluar untuk membolehkan mereka mencapai angka 75 peratus.
Katanya, jumlah keluar mengundi yang rendah itu dikesan di kedua-dua belah penyokong BN dan Pakatan di kesemua 16 daerah mengundi.
Maka, tumpuan kini adalah untuk menang dan bukannya untuk meraih majoriti besar, katanya.
2.20pm Pengawah komunikasi PKR Fahmi Fadzil di Twitter mendakwa Anwar nyaris ditumbuk oleh individu tertentu dalam satu kejadian di Sungai Sekamat.
Satu rakaman video yang disaksikan Malaysiakini menunjukkan berlaku satu kejadian kekasaran di antara penyokong PKR dan BN pada kira-kira jam 10.30 pagi ini,
Bagaimanapun, kejadian itu berlaku beberapa meter daripada Anwar yang sedang beredar dari tempat kejadian.
Rakaman itu menunjukkan bahawa satu payung dengan logo BN dilemparkan ke arah penyokong PKR namun tiada kecederaan dilaporkan.
Sementara itu, ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin di Twitter mendakwa tidak ramai penyokong PKR dikesan di pusat pengundian, yang menurutnya menunjukkan PAS tidak gembira dengan strategi “Langkah Kajang”.
Bagaimanapun, wartawan Malaysiakini di lapangan mengesahkan terdapat penyokong PAS di kalangan penyokong PKR, termasuk briged Unit Amal parti itu.
Bendahari PAS Hatta Ramli dilihat di kawasan Sungai Kantan hari ini.
2pm Jumlah keluar mengundi 53.71 peratus setakat ini. Jumlah keluar mengundi yang lebih rendah berbanding 2013 (87 peratus) dijangka akan memberi kesan kepada penguasaan PKR di kerusi DUN ini.
Anwar menyiarkan rayuan di Twitter agar pengundi menggunakan masa untuk keluar mengundi sebelum pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang.
1:30pm Sg Kantan – Kunjungan dari presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN, Chew Mei Fun menyemarakkan semula semangat penyokong parti untuk bersorak-sorai.
Suasana itu kembali hingar apabila seorang penyokong Pakatan melaungkan “Kangkung! Kangkung!”.
Penyokong BN membalas semula dengan aksi menggoyangkan punggung mereka ke ara penyokonga Pakatan, dengan diawasi pasukan polis.
Sorakan itu kemudiannya surut semula selepas pemimpin MCA dan PKR, seperti MP Subang R Sivarasa beredar dari kawasan tersebut,
1.10pm Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mempersoalkan sikap penyokong Pakatan yang meniru gaya bomoh.
“Kadang-kadang kita patut bertanya apa sebenarnya dalam kepala orang yang buat aksi gila sebegini di tempat awam. Kematangannya dipersoal,” katanya di Twitter.
1pm Tempoh untuk membuang undi berbaki empat jam namun baru 47.24 peratus atau 17,977 pengundi menunaikan tanggungjawab.
12.12pm SK Seri Sekamat – Menurut polis, kejadian kekasaran hanya dilaporkan berlaku di dua pusat pengundian, dari keseluruhan 18 pusat pengundian.
Ketua Polis Selangor Shukri Dahlan berkata kejadian itu berpunca dari beberapa sebab.
“Pegawai saya beritahu, jalan yang terlalu sempit di depan sekolah menyebabkan kedua-dua belah pihak bertembung.
Selain itu terdapat juga pengundi yang meletak kereta sesuka hati sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalulintas.
12pm Seramai 15,529 (40.81 peratus) keluar mengundi setakat tengahari.
11.30am SK Kantan Permai – seorang pengundi yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa.
“Saya membesar dengan Pakatan. Saya mahu Pakatan Rakyat menang. Mahasiswa juga banyak menggerak massa. Saya dengar ada undi kesian daripada atas pagar, dia kata undi Kak Wan,” katanya.
11.16am Kajang – Satu kumpulan penyokong BN bermotosikal diketuai pemimpin Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah membunyikan enjin jentera merea ketika melalui beberapa pusat pengundian.
Mereka memulas pendikit minyak untuk membuatkan enjin motosikal menderu kuat sehingga menenggelamkan laungan penyokongan lawan.
Kumpulan berkenaan berbuat demikian selama kira-kira 10 minit sebelum meninggalkan kawasan tersebut dalam keadaan kelam akibat kepulan asap motosikal.
Sementara itu seramai 20 orang penunggang basikal, termasuk seorang warga emas yang memakai baju dengan tulisan ‘Power of Rakyat’ dan ‘Rakyat Is Not A Fool’ turut mengunjungi kawasan-kawasn pengundian untuk menunjukkan sokongan.
Seorang daripadanya berang apabila disorak oleh sorang penyokong BN di SK Convent di Kajang, dan menjerkah kembali: “Hei bodoh!”
Beliau kemudiannya ditenang oleh penyokong PKR yang memberikannya minuman.
11.15am SK Kantan Permai – Penyokong Pakatan Rakyat semakin bertambah.
Beberapa orang penyokong PKR dilihat mengejek penyokong lawan dengan membuat aksi ‘bomoh teropong’.
Seorang daripadnyaa menggunakan batang paip kecil berwarna hitam sebagai teropong, seorang lagi memegang dua biji kelapa tua dan seorang lagi memegang batang penyapu.
Ia bagi mengajuk upacara perbomohan seorang pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zin di KLIA bagi mencari pesawat MH370.
Kumpulan penyokong Pakatan turut melaungkan ejekan “Kangkung” kepada penyokong BN.