IPOH: Kayuhan basikal santai bersempena Hari Sambutan Keputeraan Sultan Perak yang diadakan di Bandar Diraja Kuala Kangsar pada 12 April lalu berlangsung dengan penuh meriah.
Program yang diberi nama “Fun Ride” itu disertai lebih 100 orang peserta melibatkan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir daripada seluruh negeri Perak.
Program anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (Dacs) Pemuda PAS Perak di bawah Pengarahnya, Salman Saleh itu dirasmikan oleh Bendahari Pemuda PAS Perak, Mohd Nazri Din.
Sebelum para peserta dilepaskan, Nazri Din telah merasmikan Alternative Cycling Club (ACC) iaitu satu kelab basikal yang bertapak di bawah Dacs Perak.
“Kita jadikan kelab ini satu plaftorm untuk kita tarik dan kumpulkan peminat sukan berbasikal khususnya golongan muda.
“Didik mereka ini beriadah cara Islam dan tunjukkan bahawasanya beriadah itu juga adalah satu ibadah,” katanya ketika berucap merasmikan ACC.
Peserta kayuhan itu mula dilepaskan bermula jam 8.30 pagi dan berakhir kira-kira 10.00 pagi setelah merentasi perjalanan sejauh 35 kilometer.
Pengerusi ACC, Mohd Shamsul Anwar Bushra ketika ditemui berkata, beliau melahirkan keyakinan kelab yang baru ditubuhkan oleh Dacs Perak itu akan menarik minat peserta untuk menyertainya.
Katanya, pelbagai strategi dan program jangka masa pendek dan panjang telah dibincangkan untuk dianjurkan dalam usaha menarik minat masyarakat kearah program yang bermanfaat.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program kayuhan tersebut.
“Terima kasih kepada pasukan keselamatan Polis, Marshall Kelab Motor LC Kuala Kangsar dan Jabatan Amal yang telah memberi kerjasama baik bagi menjayakan program ini,” jelasnya.