Pemuda PAS Perak mencabar agar Barisan Nasional (BN) turut memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kawasan Teluk Intan setelah melakukannya di dalam PRK Bukit Gelugor.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata sewajarnya Gerakan di kerusi Teluk Intan mengikut jejak langkah MCA yang tidak bertanding di Bukit Gelugur.
“Sehingga kini masih belum ada jawapan rasmi sama ada BN akan menyertai PRK di Teluk Intan atau sebaliknya dan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi BN Perak masih berteka-teki tentang persoalan tersebut.
“Kami tegaskan bahawa Pemuda PAS akan terus membantu PRK Teluk Intan dan kini di PRK Bukit Gelugor bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat (PR) yang ditandingi kedua-duanya daripada DAP. Kami akan berusaha keras untuk mengekalkan kemenangan Parlimen Teluk Intan dan berusaha meningkatkan undi di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong khasnya yang pernah ditandingi oleh PAS pada PRU 13 yang lalu. Walaupun tewas di DUN Changkat Jong, ianya bukan alasan untuk memastikan peningkatan undi di DUN Changkat Jong terutamanya pada PRK kali ini.
“Kami juga akan melancarkan Gerak Kerja Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda PR di Parlimen Teluk Intan bagi memastikan anak muda akan terus bersama PR pada PRK Teluk Intan kali ini. Kami yakin dengan boikotnya BN di Parlimen Bukit Gelugor dan tidak mustahil BN juga akan memboikot PRK Teluk Intan. Jika MCA pun sudah mula menyertai Kerajaan dengan kekuatan yang ada kepada mereka dan bagaimana pula GERAKAN yang tidak kuat untuk menyertai Kerajaan di tambah dengan PRK ini di Teluk Intan. Marilah sama-sama kita tunggu keputusan GERAKAN untuk PRK Teluk Intan ataupun ada ‘tajaan’ bagi calon tertentu juga pada PRK Teluk Intan kali ini,” katanya.