Kenyataan Media: Pemuda PAS Perak menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri Perak untuk menubuhkan sebuah Pasukan Sukarelawan Khas bagi usaha membenteras penyalahgunaan dadah sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir baru-baru ini. Kami menyokong penuh penubuhan Pasukan Sukarelawan Khas tersebut dan ingin mendapatan penjelasan lanjut daripada Kerajaan Negeri Perak atas tujuan dan usaha pencegahan yang akan dirancang untuk dilakukan berikutan keadaan berleluasanya penyalahgunaan dadah sehinggakan telah sampai di kawasan kampung dan kawasan pendalaman.
Kami bersedia membantu usaha Kerajaan Negeri Perak dan akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk dengan Datuk Seri Zambry bagi menjayakan usaha murni ini kerana penyalahgunaan dadah sudah mencapai tahap kritikal dan memerlukan kerjasama semua pihak. Kami mengakui, sudah tiba masanya pihak Kerajaan Negeri Perak memastikan semua agensi yang terlibat dan memberikan peruntukan khas bagi memberikan fokus untuk mengatasi masalah utama masyarakat ini dan kami juga akan menubuhahkan satu Jawatankuasa Khas Membenteras Dadah di peringkat kami bagi persediaan ke arah yang sama.
Kami juga mengharapkan kepentingan gerak kerja secara berfokus bagi membenteras penyalahgunaan dadah ini perlu dilakukan sepertimana yang telah dilakukan di sektor pendidikan yang meletakkan penumpuan pencegahan awal melalui pendidikan di peringkat sekolah lagi dan ianya mesti selari dengan penubuhan sepertimana yang dicadangkan oleh Datuk Seri Zambry. Kami mengharapkan ianya segera ditubuhkan agar satu Pelan Tindakan membenteras dadah diwujudkan bagi panduan di peringkat Negeri dan juga peringkat Daerah bagi tujuan tersebut.
YM DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.