Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) meminta semua pihak tidak membuat tanggapan buruk terhadap penubuhannya kerana tujuannya bagi memperkasakan Pakatan Rakyat (PR) ekoran perpecahan dalam PAS, lapor Sinar Harian hari ini.
Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi memberitahu, Pasma ditubuhkan bukan untuk menggantikan PAS, sebaliknya sebuah pertubuhan NGO bagi memastikan PR menggantikan BN memerintah negara.
Katanya, Pasma lahir daripada rasa kekecewaan penyokong yang selama ini meletakkan kepercayaan tinggi kepada PR.
Timbalannya Mohamad Husin pula berkata kekecewaan mereka sampai kepada peringkat ahli PAS mula mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“PAS kembali seperti zaman 80-an dulu sehinggakan ada orang pertikai presiden dan Majlis Syura Ulama menyebabkan rakyat tidak suka terhadap PAS.
“Atas faktor ini, pihak seperti Pasma akan membetulkan PAS,” kata Mohamad yang merupapan bekas ahli Parlimen Pasir Puteh, seperti dipetik Sinar.
Mereka berdua berucap di majlis Dialog Perdana dan Pelancaran PasMa Peringkat Terengganu di sebuah restoran di Kampung Raja, kelmarin.
Phahrolrazi berkata, PasMa menyasarkan 1 juta ahli terdiri daripada penyokong PR dan bukan ahli PR.
Sementara itu, bekas setiausaha akhbar Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Omar Bakar yang turut hadir pada majlis itu berkata, kenyataan presiden PAS di muktamar PAS baru-baru ini mengejutkan beliau kerana mengeruhkan hubungan PR.
Beliau turut membidas pimpinan muda PAS yang kelihatan seronok keluar surat khabar dan media dengan mengeluarkan kenyataan memburukkan PR.