Langkah kerajaan dalam mengurangkan subsidi minyak berkuatkuasa tengah malam tadi adalah langkah sumbang kerajaan yang memberi kesan yang berat kepada rakyat.
“Hanya belum sampai setahun rakyat menerima pelbagai siri kenaikan, kerajaan sekali lagi tidak mengendahkan suara rakyat yang paling dalam untuk mengurangkan kos sara hidup yang membebankan,” ujar Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia, Muhamad Azan Safar.
Menurutnya, GST yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan selalu diberi janji manis bahawa tidak akan berlaku kenaikan mendadak harga barangan, namun kerajaan seawalnya telah menaikkan harga segala keperluan asas rakyat tanpa henti sebelum bermulanya GST.
Maka, katanya ia hanya meninggalkan janji kosong kepada rakyat.
Tambahnya, alasan rasionalisasi subsidi dalam mengukuhkan kewangan selain untuk disalurkan kepada sektor-sektor lain seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan juga hanyalah retorik kerajaan apabila KPM gagal menguruskan ketelusan peperiksaan UPSR, termasuk PBS serta PT3 yang masih tidak tahu di mana penghujung eksperimennya.
“Namun kami juga beranggapan bahawa isu pengurangan subsidi minyak ini menjadi panggilan kepada seluruh parti kompenen dalam Pakatan Rakyat dan NGO untuk mengukuhkan muafakat, meninggalkan perselisihan dan terus fokus dalam menentang dasar-dasar yang menindas rakyat oleh kerajaan Barisan Nasional,” ujarnya lagi.
Katanya, rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Raya Korban tidak lama lagi akhirnya telah dikorbankan terlebih dahulu oleh kerajaan korup yang mentadbir negara ini.