Taman Selayang, Batu caves: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar tindakan melampau beberapa media cetak dan elektronik yang menggambarkan kematian Pegawai Kanan Kastam, Allahyarham Ahmad Sarbani Bin Mohamed, 56 tahun sebagai mati bunuh diri dan seumpamanya.
Tindakan yang tidak bertamadun ini, akan memberikan prejudis dan persepsi buruk kepada Allahyarham dan keluarganya.
Zaidy Abdul Talib, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) ketika menghubungi media di Taman Selayang hari ini berkata, “ Mengikut syariat Islam, bunuh diri adalah suatu perkara yang dikategorikan dalam dosa-dosa besar dan syirik serta sesetengah ulama’ mengatakan ia tidak boleh disempurnakan jenazahnya seperti sediakala mengikut amalan Islam”.
“Kita difahamkan oleh keluarga dan rakan-rakan, allahyarham adalah seorang yang beragama yang sentiasa berada dan berjemaah di surau di kawasan kediamannya dan beliau akan menunaikan haji di makkah pada tahun ini.
“Menurut keluarganya lagi, sebelum beberapa jam kematiannya beliau menunaikan solat subuh berjamaah bersama kawannya dalam perjalanan ke Pejabat SPRM, Kuala Lumpur
“Jika difikirkan, mana mungkin seorang Melayu Islam yang taat beragama, rasa dan mampu melakukan perkara sekeji dan yang dikutuk oleh agamanya”.
Sehubungan itu, DPPNS menyangkal kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur dan tidak bersetuju sama sekali dengan kenyataan kematiannya adalah ‘Sudden Death’ iaitu kematian mengejut.
“Kami harap siasatan dan postmorterm sewajarnya di lakukan secara terperinci sebelum apa-apa keyataan dikeluarkan.
“Selain daripada itu, kami juga dimaklumkan beberapa rakan sejawatnya juga telah dikasari oleh pihak SPRM semasa siasatan dan sesetengah daripada mereka telah melaporkan kepada pihak PDRM.
“Oleh itu, kami mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini agar lebih telus dan akan memberi keadilan untuk semua,” sambungnya.
Zaidy turut mengumumkan DPPNS akan menyalurkan bantuan berbentuk material dan guaman bagi meringankan keluarga dan menuntut pembelaan yang adil dalam menyelesaikan kes ini demi menjaga maruah Allahyarham dan keluarganya dari tohmahan.