Kempen pilihanraya negeri Sarawak yang masuk minggu kedua menyaksikan BN amat terdesak untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka pada pilihanraya 2006 lalu. semakin banyak penipuan dan pembohongan serta fitnah dilemparkan kepada Pakatan Rakyat semata-mata untuk memesongkan fakta dan pemikiran rakyat.
Terbaharu, kempen Perdana Menteri Najib Razak mendakwa kerajaan PR tidak menunaikan janji pilihanraya 2008 kepada rakyat di negeri yang ditadbir mereka. Menurut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin tohmahan seperti itu menunjukkan BN telah ketandusan isu dan amat bimbang sekiranya rakyat Sarawak mengubah selera dengan mengundi PR bagi memperolehi program kebajikan seperti yang dinikmati oleh rakyat di beberapa negeri.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengepalai politik kotor apabila terus-terusan membuat kenyataan palsu dan tidak berfakta. Terbaru dalam kenyataannya sewaktu berkempen di Kuching semalam (11 April), secara terang-terangan beliau membuat fitnah mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat tidak menunaikan janji dan tanggungjawab di negeri-negeri yang ditadbir; Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah. Juga kononnya tidak mempunyai dana untuk membangunkan Sarawak apabila menang kelak.
“Ini suatu penipuan yang terbesar dan selayaknya PM digelar ‘Maha Penipu Rakyat’. Semua sedia maklum bahawa negeri-negeri Pakatan, terutama Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan dan pendapatan yang tertinggi di negara ini. Contohnya, Selangor sendiri mencatatkan pendapatan lebih 30% buat ekonomi keseluruhan negara,” kata Zuraida.
Beliau mengingatkan rakyat Sarawak bahawa wang yang diberikan kepada rakyat mahupun janji pembangunan adalah wang cukai rakyat sendiri. Oleh itu sesiapa pun yang boleh mengugut sekiranya PR memerintah mereka tiada wang untuk membangunkan negeri. Apatahlagi Sarawak yang kaya dengan hasil balak, minyak dan gas asli.
“Rakyat Sarawak harus sedar bahawa wang yang digunakan BN untuk menabur segala janji adalah wang rakyat. Tindakan sewenang-wenangnya kerajaan BN menggunakan wang rakyat demi kepentingan peribadi dan kempen politik parti BN menunjukkan bahawa mereka terutama mantan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud adalah pemimpin yang sangat tidak amanah dan tidak bertanggungjawab.
“Berbanding dengan Pakatan, setiap sen wang rakyat akan digunakan untuk kebajikan rakyat. Amalan anti-rasuah, cekap dan amanah dalam pentadbiran Pakatan adalah jauh lebih baik berbanding budaya korupsi dan penipuan dalam pemerintahan BN,” ujarnya.
Zuraida juga memintya rakyat Sarawak melihat ke Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang mana kebanyakan janji dalam manifesto PRU 2008 lalu telah ditunaikan. Bandingkan dengan kerajaan pentadbiran Taib Mahmud yang masih terkial-kial dalam membangunkan kemudahan asas untuk rakyatnya.
“Lihat sahaja di semua negeri pentadbiran kerajaan Pakatan, dalam masa yang singkat sahaja semua rakyat, bukan sahaja di negeri Pakatan, malah negeri lain juga merasai nikmat limpahan ekonomi hasil dari pentadbiran yang amanah ini.
“Kerajaan Pakatan Rakyat ikhlas dan yakin andai pentadbiran negeri Sarawak ditadbir dengan penuh amanah, tentunya rakyat negeri itu turut sama merasai nikmat seperti negeri-negeri Pakatan yang lain.
“Pakatan adalah jauh lebih layak untuk mentadbir Sarawak, kerana Pakatan tidak pernah mengamalkan rasuah seperti BN. Saya yakin, rakyat Sarawak bijak dan mampu menilai kerajaan mana yang terbaik dan mampu memimpin sebuah negeri secara lebih bersih dan berkebajikan,” akhiri Zuraida.