Oleh: Dhama Borhan
Buat kesekian kali kita datang lagi melihat laut
Ombaknya memutih
Langit di atas lengkungan biru
Adakah ia menenangkan?
Tidak, kita telah terlalu jauh dalam perjuangan
Kini, di hujung benua
Tiada langkah untuk berpatah kembali
Tiada upaya mampu menyingkap kebahagiaan lama
Di wajahmu ada cahaya, impian hidup
Sinar mata membara,
Itu kaubawa dari detik bahagia lalu
Dalam perjuangan yang kian kelam, hitam
Kita diburu oleh masa
Senjata dihala untuk membunuh
Aku dengar laungan
Kaudengar nyanyian
Itu nyanyian kematian
Demi akidah tercinta
Demi darah dan tanah air
Demi keadilan, kesaksamaan
Kita mati menentang kezaliman
Aku dengar semboyan itu
Ia kata-kata perang
Kau dengar nyanyian indah
Kita menuju bahagia abadi di hujung peperangan
Tidak, kita telah terlalu jauh
Perjuangan tiada puncak kemenangan
Kejayaan hanya kerana kita terus memegang prinsip hidup
Kejayaan adalah kau terus bersamaku
Wajahmu, senyummu, renungan tajam matamu
Suatu keindahan menyonsong hari-hari kebosanan menunggu mati
Kita di penghujung jalan, di depan laut,
Di bawah jurang, di belakang hanya musuh
Teman, ini kali terakhir kita lihat laut
Kali terakhir kita melihat awan
Ombak dan gelombang
Pegang tanganku, kita bersama sehidup, semati
Di sini bumi kita berkubur
Pegang tanganku,
Kita hadapi muntahan peluru
Biar menghentam tubuh
Biar kita rebah bersama
Darah mengalir membasah bumi
Menjadi baja, menumbuh seribu pejuang baru
Kita hidup untuk berjuang, kita mati sebagai pahlawan.
2004