Selepas minggu pertama pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat Malaysia, beberapa pakar memberi amaran kepada Putrajaya kerana meletakkan sasaran terhadap sektor perkhidmatan dan penggunaan swasta bagi memacu ekonomi negara.
Ketua Institut Rakyat Yin Shao Loong berkata, pelaksanaan ini tidak akan membantu meningkatkan jumlah pendapatan pekerja Malaysia apabila jumlah kutipan cukai dalam sektor perkhidmatan adalah berasaskan kepada mereka di bidang pembuatan.
Menurut pakar, rancangan untuk menjadikan perkhidmatan sebagai enjin pertumbuhan seterusnya adalah masih kecil. Ini kerana ekonomi Malaysia masih belum berkembang daripada satu fasa penting dalam proses perindustriannya.
Fasa ini yang sering diperkatakan sebagai evolusi industri Malaysia dari kos rendah, pemasang bernilai rendah kepada bernilai tinggi, pengeluar berteknologi tinggi seperti yang terdapat di Korea Selatan dan Taiwan.
Menurut ahli ekonomi terkemuka Tan Sri Prof Kamal Salih, langkah melangkau fasa dan beralih kepada fasa perkhidmatan terlalu cepat adalah tidak seiring dengan keadaan semasa kerana penggunaan yang diperlukan untuk menjana perkhidmatan tersebut datang daripada hutang.
“Ini adalah mengapa tahap hutang swasta, korporat dan awam kita begitu tinggi dan ini membuatkan kita terdedah kepada kejutan luar,” kata Kamal yang merupakan pensyarah Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan di Universiti Malaya.
Memacu ekonomi maju
Pentadbiran Najib memberi penekanan besar terhadap perkhidmatan seperti yang terkandung dalam buku panduan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).
“Objektif negara berpendapatan tinggi bukan hanya satu sasaran kuantitatif,” menurut buku panduan berkenaan dalam bab pertama mengenai “Model Ekonomi Baru Malaysia”.
“Ia juga bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan ekonomi yang mempunyai ciri lazim negara maju.”
Salah satu komponen utama matlamat iaitu untuk membangunkan “sektor besar dan perkhidmatan yang berkembang maju untuk menambah kekuatan sejarah negara dalam bidang pengeluaran minyak dan gas, pertanian dan pembuatan”.
Dalam ucapan Belanjawan 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.
“Pada 2013, perkhidmatan menyumbang 55% (kepada ekonomi) berbanding 49.3% pada tahun 2000.”
Pada 16 Mac, Najib berkata sektor perkhidmatan menyediakan kira-kira 8 juta atau 62% daripada jumlah pekerjaan di negara ini.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Pelan Sektor Perkhidmatan dan Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan.
Menurut laporan Bernama, rangka tindakan itu mempunyai 4 dasar utama, majoriti daripada mereka membangunkan perkhidmatan tempatan yang bernilai tinggi seperti penjagaan kesihatan, kewangan, maklumat dan teknologi komunikasi (ICT) yang boleh dieksport.
Bajet 2015 juga menyediakan lebih RM5.3 bilion bawah pelbagai skim untuk membangunkan perkhidmatan ini.
Lebih sukar eksport peguam berbanding sarung tangan getah
Bagaimanapun, beberapa pakar berpendapat fokus ini adalah bersifat pra-matang ketika perkhidmatan nilai tinggi tidak boleh berkembang tanpa tenaga kerja yang berkemahiran dan inovatif yang lahir selepas negara mempunyai teknologi yang tinggi serta nilai industi yang tinggi.
Industri Malaysia, kata Kamal, terperangkap dalam model nilai rendah yang bergantung kepada modal asing dan buruh murah.
“Jadi, daripada perbelanjaan ke atas penyelidikan dan pembangunan dan menjadi lebih berteknologi tinggi, industri kita akan membelanjakan lebih banyak wang untuk membawa masuk pekerja asing lebih murah yang dibayar untuk memastikan kadar pengeluaran dan kos yang kompetitif.
“Ini kerana buruh asing murah mudah diperolehi, namun perbelanjaan itu tidak dimasukkan ke dalam membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, katanya.
Industri bernilai tinggi dibangunkan daripada pekerja mahir yang berkualiti dan dapat memacu permintaan domestik secara mampan malah pengguunaannya tidak bergantung kepada hutang yang terlalu banyak.
“Tetapi oleh kerana kita tidak dapat membangunkan industri kita, kita melangkau fasa ini dan akan terus ke perkhidmatan dan cuba untuk mengekalkan pertumbuhan melalui penggunaan.
“Tetapi kerana tiada kenaikan gaji, semua penggunaan yang dialami oleh hutang,”katanya merujuk kepada hakikat hutang isi rumah Malaysia adalah 86.6% daripada jumlah nilai keseluruhan ekonomi pada tahun 2013.
Kamal berkata, kebanyakan ekonomi negara maju seperti Korea Selatan, Jerman dan Taiwan biasanya bergerak lebih ke dalam sektor perkhidmatan selepas mereka menjadi industri berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.
Satu lagi masalah dihadapi Putrajaya, kata Yin daripada Institut Rakyat, adalah perkhidmatan yang sukar dieksport berbanding barangan pembuatan berkualiti tinggi.
“Perkhidmatan adalah sukar untuk dieksport daripada barangan kerana ia adalah jauh lebih sukar untuk mengembangkan kapasiti perkhidmatan seorang individu dengan teknologi yang mampu menggandakan kapasiti pengeluaran sektor perkilangan menerusi teknologi. ”
Jumlah dan kualiti perkhidmatan bergantung kepada kualiti pekerja bergantung kepada sistem pendidikan, yang terbukti mengalami masalah, kata Yin.