Meskipun mengerjakan umrah di tanah suci Mekah, tidak menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan serangan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu berkata, sudah banyak rungutan yang diterimanya bukan sahaja dari orang Melayu malah kaum Cina yang tidak senang dengan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.
“Saya didatangi oleh ramai kumpulan-kumpulan dan individu yang mengadu terhadap kepimpinan Najib. Mereka datang berkali-kali dan meminta saya buat sesuatu supaya Najib berhentikan dasar dan pendekatannya.
“Yang datang bukan sahaja orang Melayu dan ahli Umno tetapi juga orang Cina. Mereka amat tidak senang dengan isteri Najib, dengan cara hidup mewahnya, dengan lagaknya seakan-akan ia Perdana Menteri,” katanya menerusi blognya hari ini, chedet.cc.
Semalam buat pertama kalinya Najib menjawab Dr Mahathir secara terbuka mengatakan bekas perdana menteri itu tidak akan dapat memerintah selama 22 tahun tanpa sokongan pemimpin dan ahli Umno.
“1987, saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi perdana menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah, kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita tidak sokong pemimpin menghadapi ujian, Dr Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi perdana menteri,”
“Jadi, janganlah lupa, waktu dia (Dr Mahathir) jadi perdana menteri, kita sokong dia penuh. Sekarang dia tidak jadi perdana menteri, sokonglah pula. Kalau tidak boleh sokong, janganlah bunyi sangat. Tetapi tidak apa, jangan rosakkan parti. Kita boleh terangkan (isu berkaitan 1MDB),” kata Najib seperti dilaporkan Bernama.
Serangan Dr Mahathir terhadap Rosmah bukanlah kali pertama, selepas beliau mendakwa rakyat kini bercerita mengenai gaya hidup mewah isteri perdana menteri itu pada bulan lalu.
Katanya, kritikan itu bukanlah satu serangan, sebaliknya hanya mempersoalkan dakwaan gaya hidup mewah itu.
“Ada khabar angin mengatakan beliau membelanjakan RM3 juta hanya untuk hiasan bunga-bungaan (ketika majlis perkahwinan anaknya),” kata Dr Mahathir.
“Isunya ialah, orang bercerita. Mungkin salah atau betul. Saya tidak pasti kalau ia benar, tetapi saya fikir ada yang fakta. Itu jadi masalah,” katanya dipetik dalam laporan media