Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata PKR ingin sebuah jawatankuasa Parlimen dari pihak pembangkang mengenai setiap kementerian diwujudkan. Hal itu, menurutnya, lebih sesuai berbanding kabinet bayangan Pakatan Rakyat.
“Bukan kabinet bayangan, tapi jawatankuasa Parlimen,” katanya ringkas apabila ditanya bila PKR akan mengemukakan Kabinet bayangannya.
Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP berpendapat lebih baik setiap parti dalam PR menubuhkan Kabinet bayangan masing-masing.
Beliau memberi alasan Kabinet bayangan PR tidak akan berfungsi kerana ia tidak praktikal memandangkan keadaan hubungan antara DAP dan PAS ketika ini.
Dr Wan Azizah turut menyalahkan Parlimen yang didakwanya tidak memberi peruntukan kepada parti pembangkang untuk melaksanakan Kabinet bayangan.
“Kerana tiadanya rombakan Parlimen, dan kita tidak dapat infrastruktur itu, sekarang kosnya PR terpaksa tanggung sendiri.
“Sepatutnya, Parlimen perlu memberi peruntukan kepada pembangkang untuk adakan Kabinet bayangan seperti di beberapa negara lain,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Lim pada sidang medianya berkata, Kabinet bayangan DAP membabitkan 18 portfolio kementerian yang diwakili setiap ahli Parlimennya.
Katanya keputusan itu diambil setelah perbincangan panjang lebar Ahad lalu melibatkan 37 ahli Parlimen DAP dan ia sudah dimaklumkan kepada Dr Wan Azizah.
Beliau juga seperti menyalahkan PAS yang menyebabkan cadangan ketua pembangkang melaksanakan semula Kabinet bayangan PR tidak akan berfungsi seperti yang dimahukan.
Dr Wan Azizah berkata mahu melaksanakan kembali Kabinet bayangan PR selepas mengambil alih tugas sebagai ketua pembangkang secara rasminya semalam.