KENYATAAN MEDIA: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia meneliti kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia semasa Majlis Bicara Negara di Ipoh pada 16 Mei 2015 yang lalu turut memperkatakan isu sempadan Negara di Negeri Johor antara Negara Singapura yang dilihat seperti meminggirkan kedaulatan Negara kita. Ianya termasuklah beberapa isu yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir yang berkaitan antara Malaysia dengan Singapura yang dikatakan ‘tunduk’ terhadap Singapura terutamanya pertemuan terkini antara Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 5 Mei 2015 baru-baru ini.
Isu terbaru yang dibincangkan adalah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura serta Sistem Transit Rapid (RTS) Singapura-Johor Baru. Cadangan tersebut untuk menghubungkan Singapura telah dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam Bajet 2014 yang lalu. Menurut mesyuarat yang telah diadakan pada 7 April 2014, lokasi yang bermungkinan untuk keretapi berkelajuan tinggi ke Tuas Barat, Jurong Timur atau Pusat Bandaraya Singapura. Pada 6 Februari 2015 yang lalu pula, Jawatankuasa Bersama Peringkat Kementerian Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) menyatakan bahawa Singapura telah mengumumkan Jurong Timur sebagai sebuah lokasi untuk kereta api berkelajuan tinggi, tetapi tidak disambungkan ke stesen MRT yang sedia ada, pembinaan kereta api itu dijangka bermula pada tahun 2016.
Isu sensasi yang dibangkitkan sekali lagi oleh Tun Mahathir adalah projek Jambatan Bengkok yang telah dibatalkan oleh Tun Haji Abdullah Haji Ahmad Badawi dahulu. Antara alasannya ketika itu bahawa Malaysia tidak boleh meneruskan usaha membina jambatan secara bersendirian (unilateral) tanpa mematuhi tuntutan undang-undang. Khususnya, Malaysia mempunyai tanggungjawab yang terkandung di bawah Perjanjian Air Johor ketika itu. Rintangan utama yang dihadapi Malaysia dalam soal ini adalah jika pembinaan jambatan bengkok diteruskan, ia akan melibatkan perobohan Tambak Johor sebelah Malaysia. Perobohan ini secara langsung menjejaskan paip-paip air yang dibina dalam Tambak Johor dan paip-paip air yang dibina di kiri dan kanan Tambak Johor melalui satu kenyataan rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dahulu.
Dan yang paling menyedihkan pula kata Tun Mahathir adalah apabila Dato’ Sri Najib bersetuju pada 30 Jun 2011 telah menamatkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, Singapura yang sejak bermula operasi pada tahun 1932 iaitu selama 79 tahun yang lalunya. Malaysia telah bersetuju memindahkan stesen KTMB Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) mulai 1 Julai 2011. Keputusan itu dicapai hasil perbincangan Perdana Menteri dengan rakan sejawatannya dari Singapura tahun 2010 yang lalu. Stesen Keretapi Tanjong Pagar, juga dikenali sebagai stesen kereta api Jalan Keppel atau stesen kereta api Singapura mulai Julai 2011, akan menjadi wajah yang lain. Ini kerana dalam perancangan kedua-dua negara, akan dibina sistem transit pantas yang menghubungkan Woodlands dengan Johor Bahru.
Jelas Tun Mahathir, Dato’ Sri Najib begitu ‘tunduk’ dengan Singapura dan kemungkinan banyak lagi kedaulatan Negara bakal tergadai ‘ditangan’ Singapura di masa depan. Ianya menunjukkan ‘kelemahan’ Perdana Menteri kini yang diragui ketegasannya yang dipersoalkan oleh Tun Mahathir ketika di dalam program tersebut yang perlu dijelaskan oleh Dato’ Sri Najib dengan segera. Ini kerana rakyat bimbang dengan suasana yang ada dan kedaulatan Negara yang semangkin terhakis dengan beberapa tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Negara ketika ini.
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Pengerusi,
Lajnah Antarabangsa,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.