Seorang sarjana Islam antarabangsa hari ini menyelar cadangan pelaksanaan hudud di Malaysia, menyifatkannya tidak adil kerana membenarkan “double standard” bagi kesalahan jenayah yang sama dalam masyarakat.
Bagaimanapun, ahli Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah, Dr Jasser Auda berkata, wajar mempunyai dua set undang-undang keluarga kerana bidang itu berkaitan agama.
“Apabila berhubung undang-undang keluarga, boleh ada undang-undang selari. Ia menyentuh peribadi, yang banyak kaitannya dengan agama.
“Saya dapat melihat kebijaksanaannya dalam hal itu,” katanya pada satu sesi perbincangan meja bulat bertajuk Maqasid al-Syariah di Kuala Lumpur hari ini.
“Dari perspektif perundangan, saya rasa mempunyai dua undang-undang jenayah akan mengundang masalah. Negara moden tidak mempunyai dua mahkamah jenayah.”
Jasser yang juga pengasas Kesatuan Sarjana Islam Antarabangsa berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan PAS yang mahu melaksanakan hudud di Kelantan.
Bagaimanapun, jika seluruh masyarakat dirundingkan dan bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang kesalahan jenayah tunggal maka tidak menjadi masalah melaksanakan hudud, katanya.
“Melaksanakan hudud tak mengapa jika ia diluluskan dan dipersetujui melalui saluran demokrasi dan melalui penelitian Perlembagaan. Ia tidak harus dipaksa sesiapa,” katanya.
“Ia asas pembinaan negara dan Perlembagaan tidak boleh dikompromi.”
Jasser berkata hudud tidak harus dilaksanakan jika terdapat kecurigaan dalam keadilan melaksanakannya.
“Terdapat hadis yang biasa didengar dalam dunia Islam. Jika terdapat kecurigaan keadilan dalam pelaksanaan, kita tak perlu menggunakannya.”
Mengambil contoh Mesir, beliau berkata undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan kerana sistem yang rosak.
“Kamu rasa susah mencari empat saksi untuk menuduh seseorang lakukan jenayah? Bayar saja 10 dolar dan dia akan bercakap apa yang kita mahu.”
Ahli Parlimen PAS Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang hadir dalam majlis itu mengeluh orang Islam di Malaysia yang menentang hudud akan dilabel kafir tetapi Jasser berkata ia sesuatu yang tidak elok.
“Tidak elok menggelar sebegitu. Setiap Muslim membaca hudud dalam Al-Quran dan mempercayainya. Tiada orang Islam yang mengatakan ayat itu tidak baik.
“Tetapi pelaksanaan Al-Quran dalam dunia kontemporari hari ini berbeza.
“Sesetengah Muslim percaya melaksanakan hudud dalam dunia hari ini dan setengahnya tidak yang tidak menjadikan mereka kurang Islam.”
Pada sidang media kemudiannya, Jasser mengulas mengenai dakwaan ekstremis Islam yang mendakwa gereja di kawasan majoriti Islam boleh menggalakkan berlakunya murtad.
“Saya datang dari Mesir dan kami mempunyai gereja sebelah masjid di mana-mana. Kami tinggal dalam keadaan itu sejak 1,400 tahun lalu. Saya tidak lihat masalah.
“Mereka yang murtad kerana kepercayaan. Tiada kena mengena dengan gereja.”
Jasser juga turut mengulas keadaan politik Malaysia yang beliau terkejut kerana masyarakat sibuk dengan isu kecil seperti hudud dan kalimah Allah.
“Saya terkejut. Saya melihatnya lebih kecil daripada masalah sosial yang lebih besar seperti pendidikan, kesihatan, undang-undang dan sebagainya. Itu perkara yang lebih penting.
“Tetapi inilah ahli politik yang kamu pilih,” katanya.