Usul memutuskan hubungan dengan DAP masih belum muktamad kerana ia perlu dibuat Majlis Syura Ulama walaupun telah diluluskan muktamar, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Katanya, ini kerana kerjasama PAS dengan parti lain dalam pilihan raya pada 1986 dan 1999 diputuskan 2 badan dalam PAS, iaitu Jawatankuasa Pusat dan Majlis Syura.
“Memang (dewan) ulama ada sebut, tapi ia belum muktamad. Hendak masuk (Pakatan Rakyat) ada hukum, dan hendak keluar pun ada hukumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penangguhan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.
Terdahulu, bekas Timbalan Presiden Mohamad Sabu mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang susulan usul tergempar Dewan Ulama PAS Pusat itu yang diluluskan muktamar tanpa bahas.
Mustafa berkata, tidak semua perkara boleh diputuskan muktamar kerana perkara berkaitan hukum mesti dirujuk kepada Majlis Syura.
Usul tergempar menamatkan hubungan dengan DAP diluluskan Dewan Ulama pada muktamarnya 3 Jun lalu selepas ia dibawa Ketua Dewan Ulama Pahang, Mokhtar Senik.