Sebuah parti baru dijangka ditubuhkan selepas Aidilfitri ini ekoran keputusan diambil Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) hari ini.
Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi bagaimanapun berkata parti itu bukanlah peralihan daripada pertubuhan berkenaan, sebalikya sebuah entiti lain.
Katanya, parti baru itu nanti ditubuhkan untuk menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat, manakala PasMa kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Phahrolrazi berkata parti baru itu akan dbentuk melalui sebuah jawatankuasa penaja yang dianggotai oleh pelbagai NGO proPakatan.
“PasMa hari ini mengambil ketetapan bahawa sebuah parti politik baru perlu ditubuhkan dan peranan PasMa dalam parti politik ini ialah untuk memastikan kesinambungan peranan PAS dalam komponen Pakatan,” katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini
Phahrolrazi berkata PasMa akan terus kekal sebagai NGO dan tidak akan menjadi parti politik.
“Kami kekal dengan peranan terdahulu,” katanya.
Phahrolrazi menambah, urusan penubuhan parti baru itu akan diambil oleh sebuah jawatankuasa penaja untuk mendapatkan persetujuan semua pihak.