Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman hari ini membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
Mazlan berkata, rakan-rakannya yang tidak terpilih dalam AJK PAS Pusat bukanlah satu-satunya sebab peletakan jawatannya tetapi untuk membuka lebih ruang dalam penglibatannya dalam Anak.
“Saya mengambil keputusan meletak jawatan serta merta bermula hari ini. Saya memohon maaf atas keputusan ini.
“Saya tetap bersama PAS walaupun ahli biasa. Saya tetap akan menegakkan kebenaran,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS hari ini.
Mazlan berkata sama ada golongan yang berjaya dalam pemilihan PAS atau mereka yang kecundang, kesemuanya merupakan rakan dalam meneruskan perjuangan.
Katanya, tidak adil melabelkan dirinya sebagai pemimpin PAS yang pro Pakatan Rakyat (PR) kerana beliau sudah bersama parti Islam itu sejak 30 tahun lalu.
“Kalau nak kata tak ada kena mengena langsung, mungkin tidak tepat, tetapi tentulah sepanjang persahabatan, ukhuwah dan kebersamaan saya bersama rakan-rakan yang kalah, ia sedikit sebanyak satu titik hitam dalam hidup saya.
“Apabila polemik ini tidak berkesudahan, ia memberi luka yang amat dalam kepada saya dan sekiranya sebarang dakwaan mengatakan pemilihan kali ini ditentukan melalui proses ‘cai’, tentu sekali ia sangat memilukan dan kita tak lagi berada atas landasan yang pemimpin dipilih melalui prestasi atau kerja mereka,” katanya.
Ditanya sama ada akan meninggalkan PAS dan menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Mazlan berkata beliau tiada kaitan dengan NGO itu.
“Saya tidak ada kaitan dengan PasMa. Itu saya boleh katakan. Apa pun yang mereka nak buat, itu tiada kaitan dengan saya,” katanya.
Mazlan berkata Anak kini tidak lagi diletakkan di bawah PAS selepas ia mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) empat bulan lalu.
Katanya, Anak akan meneruskan misinya membela peneroka Felda, dan dengan tidak lagi menganggotai AJK PAS Pusat, usaha berkenaan akan menjadi lebih mudah.
“Apabila dapat kelulusan (RoS), Anak lebih bebas kerana Anak dianggotai bukan sahaja ahli PAS, tetapi ahli Umno. Maknanya kita bebas,” katanya.