KENYATAAN MEDIA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur menggesa Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang juga Ahli Parlimen yang berasal dari Negeri Perak iaitu Parlimen Kawasan Padang Rengas perlu merafak sembah memohon kemaafan kepada Tengku Mahkota Johor Brigadier General Tunku Ismail Sultan Ibrahim berikutan kenyataannya yang tidak wajar di keluarkan terhadap Institusi DiRaja tersebut. Ianya di dalam masa yang sama memberikan imej buruk atas nama Perak sedangkan kita juga di sini menjunjung kasih Institusi DiRaja terutamanya selepas selesainya Pertabalan Seri Paduka Sultan Perak baru-baru ini.
Kami mendesak agar Badan Perhubungan Umno Negeri Perak dan Dato’ Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir memberikan nasihat kepada Dato’ Seri Nazri yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Rengas agar merafak sembah memohon kemaafan dengan segera bagi menandakan menjunjung kasih terhadap Institusi DiRaja kita. Kami cukup hairan seorang menteri yang menjaga sektor kebudayaan tiba-tiba hilang hormat terhadap Institusi DiRaja yang sewajarnya diberikan penghormatan dengan peri bahasa yang baik dan sopan. Budaya Melayu terhadap Institusi DiRaja seolah-olah ‘hilang’ di dalam Kementerian Kebudayaan oleh kerana kelakuan ‘luar biasa’ Menterinya dan cukup memalukan.
Kami mencabar Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendesak Dato’ Seri Nazri merafak sembah memohon kemaafan terhadap Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail dengan segera. Jika Dato’ Seri Nazri masih enggan, pilihan kepada UMNO dan PERKASA agar desakkan pula terhadap Dato’ Seri Nazri untuk meletak jawatan di dalam UMNO dan sebagai menteri perlu juga dilakukan. Kami menunggu kesungguhan UMNO dan PERKASA sebagai benting utama Institusi DiRaja jika benar mereka memang sayangkan Institusi DiRaja di dalam isu ini!
SALMAN HAJI SALEH
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur.