Pakatan Rakyat tidak lagi wujud secara formal selepas Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengesahkan mesyuarat Biro Politik PKR pada 16 Jun lalu memutuskan gabungan yang diwujudkan bersama tiga parti itu berakhir selepas DAP menarik diri.
Beliau menyifatkan keadaan hubungan DAP, PAS dan PKR selepas ini adalah seumpama ‘bercerai talak satu’. Katanya, ketiga-tiga parti masih berkawan dan tidak mustahil pada masa akan datang bernikah semula.
“Sekarang kami bercerai tetapi masih kekal berkawan.
“Ini juga memberikan kami ruang untuk kahwin semula salah satunya kemudian,” katanya dipetik Malaysiakini.
Naib Presiden PKR dan MP Pandan itu menjelaskan bahawa perbezaan sekarang ialah ketiga-tiga parti tidak lagi terikat konsep konsensus dan dasar polisi bersama seperti yang dipatuhi dalam Pakatan.
Dalam kenyataan rasmi, PKR mengakui Pakatan Rakyat tidak lagi berfungsi secara formal tetapi status quo di Selangor dan Pulau Pinang kekal.
Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata atas “semangat dan permuafakatan” gabungan itu sebelum ini diteruskan. Katanya, PKR juga akan memberikan sokongan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.
Azizah juga mengakui mereka kesal dengan sikap dua sekutunya – PAS dan DAP – sebelum ini yang tergesa-gesa membuat keputusan.
“(PKR) menyatakan rasa kesal atas usul yang diterima tanpa bahas di muktamar PAS ke-61 dan berikutnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah mengumumkan penamatan riwayat Pakatan yang kami anggap tindakan tergesa-gesa.
“Ekoran dari itu, gabungan politik Pakatan tidak lagi berfungsi secara formal,” katanya lagi.
Azizah juga berkata PKR akan terus merintis usaha-usaha membina permuafakatan parti politik, NGO, kumpulan-kumpulan rakyat dan tokoh berpengaruh untuk menumbangkan BN.
Azizah membuat pengumuman itu hasil daripada mesyuarat Biro Politik PKR yang bermesyuarat semalam.