KENYATAAN MEDIA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Salak mengharapkan pihak Kerajaan Negeri Perak dapat mengambil tindakan proaktif dalam menangani kes jenayah di sepanjang Bulan Ramadhan Ini.
Bulan yang mulia ini bukanlah halangan untuk individu yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah.
Masjid dan surau adalah antara lokasi yang menjadi tumpuan penjenayah untuk melakukan jenayah terutama ketika menunaikan solat tarawih.
Saban tahun, kes pecah kereta sering berlaku di rumah ibadat itu apabila tidak ada pemantauan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Dalam masa yang sama, rumah-rumah juga sentiasa menjadi ancaman daripada para penjenayah dengan kelicikan mereka.
Walaupun kemungkinan belum lagi maklumat tentang kes kejadian seperti itu berlaku, namun Pemuda PAS Kawasan Pasir Salak mengharapkan satu usaha pencegahan perlu dilakukan.
Justeru, kami mengharapkan pihak kerajaan dapat mengeluarkan arahan kepada setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk mengerah anggotanya melakukan rondaan ataupun pemantauan di setiap masjid mahupun surau terutama ketika berlangsungnya solat Tarawih.
Kami mengakui kemungkinan tenaga polis tidak mencukupi untuk memantau keseluruhan masjid dan surau, oleh yang demikian kami mencadangkan pihak kerajaan menggunakan keringat anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
Kerajaan Negeri diharap dapat membiayai kos untuk menggunakan khidmat sukarelawan itu dalam memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Usaha sedemikian kami yakin akan dapat mencegah daripada berlakunya kejadian jenayah seterusnya memberikan ketenangan untuk menikmati bulan yang mulia ini.
#UntukMuRakyat
SHAZALY ZAINAL
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Salak