Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat yang tewas dalam pemilihan parti Islam itu baru-baru ini, Khalid Samad berkata antara impiannya ketika menyertai PAS pada 1983 ialah menjadikan ia parti politik arus perdana.
Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata wawasannya ialah supaya PAS bukan saja dilihat sebagai parti memperjuangkan kepentingan orang Islam semata-mata tetapi berjuang demi keadilan, kebenaran, kebajikan dan pembela kepada seluruh rakyat yang tertindas dan dianiaya.
Dalam satu video berdurasi 13.11 minit yang dimuat naik di Youtube, Khalid berkata demikian ketika berucap di satu forum bertajuk “Tetap Bersama Mu” di Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.
“Kita nak jadikan PAS ini sebagai satu parti yang tidak bercakap hanya untuk orang Islam tetapi sebagai parti yang memperjuangkan keadilan untuk semua,” katanya dalam video itu.
Khalid berkata, perjuangan parti Islam itu juga bukan sekadar membincangkan perihal aurat, sembahyang, sedekah dan puasa.
“Tetapi juga supaya perjuangan itu dilihat sebagai perjuangan mencorakkan masyarakat atas dasar keadilan dan kebenaran supaya semua manusia mendapat manfaat daripada perjuangan Islam ini. Ini cita-cita kita,” katanya.
Dalam video ucapannya itu, Khalid turut mengimbas kembali kejadian pada 1998 di mana berlakunya pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor bersegera ke rumah Anwar untuk memberi jaminan kepadanya parti Islam itu akan memperjuangkan keadilan dengan bersama membelanya.
Khalid berkata, tindakan Fadzil itu bukti beliau memperjuangkan keadilan dan kebangkitan seluruh rakyat Malaysia menentang kezaliman tanpa mengira kaum, agama atau parti.
“Ini merupakan satu kejayaan yang cukup hebat yang mana ia diteruskan sehingga Tuan Guru Nik Aziz walaupun seorang yang tua, Allahyarham nampak secara fizikalnya lemah tak pandai nak guna siku dan lutut tetapi kekuatan akhlak, kekuatan kerohanian dapat membakar semangat rakyat untuk bersatu menentang Umno-Barisan Nasional dengan cogan kata ‘PAS for all’ (PAS untuk semua),” katanya.
Kenyataannya itu dipercayai satu sindiran merujuk kepada ucapan yang pernah disampaikan ketua penerangan PAS yang baharu, Nasruddin Hassan dalam muktamar kepada DAP.
Khalid berkata, perkara yang sama berlaku ketika Selangor dilanda krisis menteri besar, di mana bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendesak pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bertemu dan menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.
“Dan dia (arwah) mengakhiri pesanan dia dengan berkata walau macam mana sekalipun kukuhkan PR. Ini Tuan Guru Nik Aziz,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan PAS kini seolah-olah berdepan dengan situasi yang mundur dan seperti pada zaman lampau kerana parti itu disifatkan bersendirian apabila bercakap dengan bahasa yang khas untuk orang Islam, tidak mampu berkawan dan membina kekuatan serta sentiasa mencari perbalahan sehingga akhirnya tidak mengenal erti lawan dan kawan.
“Saya menganggap ia kewajipan untuk kita menentukan wawasan Allahyarham ustaz Fadzil dan Nik Aziz diteruskan dan diperjuangkan.
“Mana-mana pihak yang nak kembalikan Islam dan perjuangan Islam kepada zaman katak bawah tempurung, kita akan tolak bersama,” katanya.