Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menjelaskan wujud keperluan mendesak Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan supaya sisastan menyeluruh dapat dijalankan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak.
Katanya, skandal melibatkan Najib dan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai AS$700 juta (RM 2.6 bilion) yang didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadi PM itu seperti dilaporkan Sarawak Report dan Wall Street journal (WSJ) tidak boleh disiasat secara bebas selagi mana Najib mempunyai kuasa tertinggi.
“WSJ bertanggungjawab sepenuhnya ke atas seberapa banyak maklumat yang didedahkan (butiran dokumen daripada Peguam Negara) ia memungkinkan sisasatan dijalankan secara menyeluruh terhadap Najib secepat mungkin (sekiranya PM letak jawatan),” kata Khalid.
Menurut beliau lagi, semua pihak harus menghargai usaha yang dibuat oleh WSJ untuk membongkar penyelewengan dana 1MDB yang masih belum menampakkan jalan penyelesaian yang efektif.
Ketika ditanya mengenai keperluan Ahli Parlimen Pembangkang Dan Barisan Nasional Anti-PM bersatu, beliau menjelaskan ada kebaikan jika bersepakat untuk bersatu bagi mendesak Najib meletakkan jawatan dengan segera supaya prosedur penyiasatan boleh berlangsung tanpa spekulasi yang berpanjangan.
“Cara bagaimana untuk bersatu adalah terserah kepada Ahli Parlimen itu sendiri dan saya berbesar hati untuk menyokong kesepakatan yang lebih terarah bagi membaiki pengurusan negara ke tahap yang lebih baik daripada sebelumnya,” kata Khalid lagi.