KENYATAAN MEDIA: PAS Kawasan Kuala Kangsar merasakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah merupakan barah yang sudah dijangka walaupun pendedahan awalnya dahulu lebih kepada masalah teknikal seperti alamat perniagaan yang tidak jelas dan tidak mengatakan audit dalaman syarikat dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Sehingga ke saat ini, pelbagai pendedahan terhadap isu 1MDB sehinggakan ia melibatkan Dato’ Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB. Sudah tentu isu pokoknya iaitu kesediaan Agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mewujudkan Syarikat Sendirian Berhad sebagai pengendali bagi pihak kerajaan melapori perniagaan umum yang jelas berisiko besar dan ianya juga menggunakan dana awam.
Bagi konteks Negeri Perak pula, pernah didedahkan tentang Anak Syarikat Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) iaitu YBU Holdings Sendirian Berhad yang telah dikurniakan tanah seluas 32,07 ekar di Lot 6593, Mukim Kamunting yang didedahkan oleh DAP Negeri Perak dahulu. Satu lagi pendedahan adalah tentang Anak Syarikat Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) iaitu MH Amanjaya Properties Sendirian Berhad (MHAP) yang mendapat tender Projek Ipoh Small Office Home Office (SOHO) 2 yang bernilai RM 100 Juta di kawasan yang berstrategik di Bandaraya Ipoh. Kedua-dua syarikat tersebut jelas penglibatannya dengan Kerajaan Negeri Perak dan tidak mustahil akan ada dana awam yang turut disalurkan kepada mereka, adakah ia berlaku? Dengan pendedahan yang ada juga, kedua-dua syarikat tersebut dalam isu kewangan mereka tidak pula dikendalikan oleh Ketua Audit Negara sepertimana yang dilakukan kini terhadap 1MDB. Termasuklah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut terlibat di dalam menyemak aliran kewangan 1MDB ketika ini dan melakukan pelbagai penyiasatan.
Pengajaran yang boleh diambil oleh kita sebagai rakyat adalah mendesak dan membantah pihak kerajaan mengguna pakai syarikat yang dibentuk yang sepatutnya boleh dilakukan oleh Agensi Kerajaan yang sedia ada. Mengambil kira juga syarikat-syarikat milik penuh kerajaan yang sudah lama dibentuk atas tujuan tertentu agar diberikan nafas baru dan menambah nilai bagi keperluan semasa daripada mewujudkan syarikat baru atas tujuan yang sama. Pandangan negatif yang sentiasa bermain dipemikiran rakyat dengan wujudnya syarikat-syarikat baru milik kerajaan ini adalah lebih mencari dan mengisi kantung pihak-pihak tertentu sepertimana yang didedahkan dan tidak mustahil juga jika didedahkan tentang syarikat di Perak tersebut memungkinkan juga berlaku sepertimana yang dengan nasib 1MDB jika tiada ketelusan seperti pengendalinya ada kaitan dengan Menteri Besar Negeri Perak dan pengaudit kewangan yang bukannya daripada rasmi pihak kerajaan.
Jesteru, pihak kerajaan perlu berani tampil membuktikan ketelusan terhadap anak syarikat milik kerajaan yang diwujudkan dan dalam masa yang sama terdapat dana awam yang disalurkan secara terus ataupun menggunakan pihak ketiga ke syarikat tersebut. Skandal 1MDB adalah barah yang perlu dibuktikan ‘pembersihannya’ dan kami juga mahu YBU Holdings dan MHAP perlu melalui ‘pembersihan’ bagi mengelak skandal yang akan terdedah jika maklumat sulit yang melibatkan ‘orang tertentu’ bocor sepertimana 1MDB tersebut. Di Perak, perlu membuktikan kedua-dua syarikat tersebut tidak menggunakan dana awam dan tidak mempunyai kepentingan pihak-pihak tertentu kerana rakyat meraguinya penglibatan ‘orang’ penting kedua-dua peneraju syarikat tersebut di Perak!
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS adalah Yang DiPertua, PAS Kawasan Kuala Kangsar.